Otak mangsa buli tersesar akibat serangan, kata doktor

Otak mangsa buli tersesar akibat serangan, kata doktor

Perbicaraan bermula dengan keterangan doktor yang melakukan bedah siasat terhadap mangsa.

Empat remaja yang didakwa membunuh T Nhaveen dibawa keluar dari Mahkamah Tinggi George Town.
GEORGE TOWN:
Tiga pukulan menggunakan “objek keras dan tumpul” di kepala mengakibatkan kematian mangsa buli, T Nhaveen yang diserang sekumpulan rakannya berhampiran satu taman di Bukit Gelugor empat tahun lalu.

Pakar Forensik Hospital Pulau Pinang Dr Amir Saad Abdul Rahim dalam keterangannya di Mahkamah Tinggi di sini berkata, Nhaveen koma sebelum maut susulan kecederaan dialami akibat trauma hentakan objek tumpul, yang mengakibatkan hematoma subdura atau pendarahan dalam otak.

Katanya, ketika bedah siasat yang dilakukan pada 15 Jun 2017, beliau mendapati kesan melecet yang semakin pulih di kepala mangsa. Menurutnya, Nhaveen pasti hampir terus pengsan akibat kekuatan daya pukulan itu.

Bagaimanapun, katanya, beliau tidak dapat mengatakan apa objek yang digunakan, kerana tiada tanda atau bekas pada kulit kepala si mati.

Disoal pendakwaan sama ada ia mungkin akibat topi keledar, beliau menjawab: “Mungkin”.

“Otaknya bergegar teruk akibat impak objek berkenaan menyebabkannya tersesar.

Ibu Nhaveen, D Shanti (kanan) bersama iparnya Vengadesh Rajalingam.

“Memang pukulannya kuat dan kami menemui tiga kesan seperti itu pada kepalanya,” kata Amir yang memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan.

J Ragesuthan, 18, S Gokulan, 18, dan dua juvana berusia 17 serta 16 tahun didakwa membunuh Nhaveen di Mahkamah Majistret pada 19 Jun 2017.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu berhampiran Karpal Singh Learning Centre, Jalan Kaki Bukit, Gelugor antara 11 malam dan tengah malam pada 9 Jun 2017.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Amril Johari dalam kenyataan pembukaannya berkata, empat remaja terbabit mengejek Nhaveen kerana bersifat keperempuanan dan “membunuh rakan sekolah mereka” itu.

Ketika soal balas, peguam Ranjit Singh Dhillon berkata, melecet semata-mata tidak akan mengakibatkan pendarahan otak, namun Amir tidak bersetuju malah berkata pernah melihat kes melecet pada kepala yang membawa maut.

Ranjit turut menyoal sama ada mayat mangsa menunjukkan kesan tusukan pada duburnya. Ini susulan dakwaan bahawa Nhaveen diserang seperti itu.

Amir menjawab, tiada kesan menunjukkan penusukan, namun terdapat kesan koyakan baharu.

Ranjit selanjutnya menyoal kenapa otak mangsa lebih berat iaitu 1,400g berbanding berat normal 1,200g, seterusnya membayangkan kemungkinan remaja itu mempunyai ketumbuhan, namun Amir berkata ini disebabkan oedema atau air iaitu tindak balas fisiologi akibat pendarahan dalam otak.

Amir turut menolak cadangan Ranjit bahawa Nhaveen meninggal dunia akibat aneurisme dalam otaknya.

Perbicaraan di depan Pesuruhjaya Kehakiman Mohd Radzi Abdul Hamid ditetapkan hingga 5 Mei ini dengan 18 saksi dijangka memberi keterangan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.