Keluarga ’28 anak’ terima bantuan sejak 2010, kata Zakat Selangor

Keluarga ’28 anak’ terima bantuan sejak 2010, kata Zakat Selangor

Selain sesi kaunseling, anak-anak yang tercicir dari sekolah juga akan dibantu dengan mendapatkan kursus kemahiran sebagai usaha meningkatkan potensi mereka.

Kisah keadaan tidak kondusif dihadapi keluarga besar itu sebelum ini mendapat perhatian apabila tular di media sosial selepas didatangi sebuah pertubuhan yang menghulurkan bantuan.
SHAH ALAM:
Keluarga besar yang tular di media sosial ekoran hidup dalam keadaan tidak kondusif dan mempunyai 28 orang anak sudah menerima pelbagai jenis bantuan zakat sejak 2010.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor (LZS), Saipolyazan M Yusop, keluarga yang tinggal di Klang itu telah menerima pelbagai jenis bantuan antaranya bantuan sewa rumah, persekolahan, kecemasan dan modal bagi membaiki keadaan keluarga itu.

Beliau berkata pihaknya akan mengadakan sesi kaunseling kepada keluarga tersebut khususnya ketua keluarga manakala anaknya yang tidak bersekolah akan menghadiri kursus kemahiran sebagai usaha merubah mereka.

“Mereka juga akan diberikan motivasi termasuk perlu menandatangani akur janji untuk berubah. Manakala, anak-anak yang tercicir di sekolah menengah dibantu dengan mencari kursus vokasional dan latihan teknikal dalam membantu meningkatkan potensi mereka,” katanya selepas Majlis Iftar dan Penyerahan Zakat Perniagaan oleh 24 syarikat, semalam.

Saipolyazan M Yusop.

Terdahulu, sebuah keluarga besar mempunyai 28 orang anak hasil perkahwinan bapa mereka bersama empat orang isteri yang hidup dalam keadaan tidak kondusif tular di media sosial dan mewujudkan pelbagai persepsi dalam kalangan warganet sejak Isnin lalu.

Dalam perkembangan lain, LZS memaklumkan badan itu menerima RM 7.7 juta zakat perniagaan daripada 24 buah syarikat.

Saipolyazan berkata pihaknya turut menyasarkan RM150 juta kutipan zakat merangkumi zakat harta dan fitrah sepanjang Ramadan tahun ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.