Rumah kampung jadi transit 84kg syabu lebih RM3 juta

Rumah kampung jadi transit 84kg syabu lebih RM3 juta

Polis turut menyita dua kereta bernilai RM36,000 dan satu akaun bank dengan jumlah simpanan RM36,762 dalam serbuan di Muar.

Ketua Polis Johor, Ayob Khan Mydin Pitchay, menunjukkan dadah jenis syabu yang dirampas dalam serbuan di Muar.
JOHOR BAHRU:
Polis berjaya mematahkan sindiket penyeludupan dadah yang menyewa rumah kampung di Muar untuk dijadikan transit 84kg syabu bernilai RM3.02 juta.

Ketua Polis Johor, Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata pada 12 Mei lalu unit risikan Pasukan Polis Marin Wilayah 2 Muar dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Johor melancarkan operasi dan beberapa serbuan sekitar daerah itu.

Katanya, dalam serbuan pertama seorang lelaki berusia 36 tahun ditahan bersama sejumlah dadah jenis syabu dan hasil saringan mendapati suspek positif Methamphetamine.

“Susulan itu, antara 13 hingga 14 Mei polis membuat tiga lagi serbuan sekitar Muar dan menahan suami isteri serta seorang lelaki berusia antara 36 hingga 49 tahun,” katanya pada sidang media.

Ayob berkata, ujian saringan mendapati dua suspek positif Methamphetamine dan mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

“Modus operandi kegiatan penyeludupan dadah ini adalah menjadikan rumah sewa sebagai transit sebelum diseludup dan dihantar ke negara jiran Indonesia melalui jalan laut.

“Selain 84kg dadah, polis turut menyita dua kereta bernilai RM36,000 dan satu akaun bank dengan jumlah simpanan RM36,762 menjadikan keseluruhan nilai sitaan RM72,762,” katanya.

Sementara itu, dalam operasi berasingan pada 14 Mei, Ayob berkata seorang lelaki ditahan di sekatan jalan raya di Jalan Bakar Batu, Muar (arah Melaka-Muar) bersama 41.78kg syabu bernilai RM1.5 juta.

“Sebuah kenderaan jenis Toyota Camry bernilai RM80,000 dan akaun bernilai RM1,612 turut disita,” katanya.

Beliau berkata, semua yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan boleh dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.