Pasangan OKU nyaris maut dalam kebakaran

Pasangan OKU nyaris maut dalam kebakaran

Kejadian membabitkan rumah dua tingkat didiami pasangan OKU pekak dan bisu di Kota Kemuning, Shah Alam, awal pagi tadi.

Keadaan mangsa yang mengalami sesak nafas selepas terselamat dalam kebakaran rumahnya. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Sepasang suami isteri orang kurang upaya (OKU) nyaris maut apabila terperangkap dalam kebakaran di rumah mereka di Kota Kemuning, Shah Alam, awal pagi tadi.

Kebakaran membabitkan rumah dua tingkat didiami pasangan berusia 31 dan 39 tahun yang juga OKU pekak dan bisu.

Menurut Pengarah Bomba Selangor Norazam Khamis, sepasukan anggota dan pegawai bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada 4.17 pagi.

Katanya, mereka berjaya tiba 11 minit kemudian di kediaman terbabit dan mangsa ditemui terperangkap dalam bilik air.

“Mangsa wanita yang mengalami sesak nafas telah diserahkan kepada pihak kesihatan untuk diberikan rawatan lanjut.

“Kebakaran telah memusnahkan 50 peratus bahagian bawah rumah tersebut,” katanya dalam kenyataan menurut laporan Kosmo.

Bagaimanapun katanya, punca kejadian dan jumlah kerugian masih lagi disiasat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.