Hina MB Kedah: Penganalisis IT bebas 2 hari awal

Hina MB Kedah: Penganalisis IT bebas 2 hari awal

Ketua Polis Kuala Muda Adzli Abu Shah berkata, siasatan terhadap lelaki berusia 25 tahun telah selesai.

Ketua Polis Kuala Muda Adzli Abu Shah berkata, lelaki berusia 25 tahun itu akan dibebaskan dengan jaminan polis petang ini. (Gambar Facebook)
SUNGAI PETANI:
Seorang penganalisis IT yang ditahan reman tiga hari kerana menghantar pesanan peribadi kepada Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor di Facebook pada hujung minggu lalu akan dibebaskan hari ini beberapa jam selepas isterinya yang hamil membuat rayuan terbuka supaya dia dilepaskan.

Ketua Polis Kuala Muda Adzli Abu Shah dalam pesanan ringkas kepada FMT berkata, lelaki berusia 25 tahun itu akan dibebaskan dengan jaminan polis petang ini kerana siasatan terhadapnya telah selesai.

Lelaki itu ditahan di rumahnya di Taiping semalam dan dibawa ke Mahkamah Majistret di Sungai Petani untuk direman.

Ini susulan laporan polis oleh pentadbir laman peminat Facebook Sanusi, berhubung mesej “bersifat menghina dan ugutan” diterima pada petang Ahad.

Lelaki itu dikatakan memarahi Sanusi kerana mempersendakan orang yang telah mati, selain menghina ibunya malah berkata, beliau “akan kena santau” satu hari nanti.

Mesej itu sebagai balasan terhadap kenyataan Sanusi baru-baru ini mengenai kontena tambahan bagi menyimpan jenazah Covid-19 di Hospital Sungai Petani. Sanusi telah memohon maaf atas kenyataannya itu.

Polis membuka siasatan melibatkan penghinaan bertujuan menggugat keamanan, menyalahgunakan perkhidmatan jaringan dan perlakuan menghina.

Kes disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.