
Jeffrey berkata, tidak ada yang meminta pendapat rakyat Sabah dan Sarawak mengenai perkara itu.
“Seolah-olah kita di Sabah dan Sarawak hanya menjadi penonton drama politik ini, dan apabila semuanya telah selesai, kita diminta agar menerima apa sahaja yang ahli politik Tanah Melayu rasa adalah yang terbaik untuk Malaysia.
“Adalah penting bagi Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak untuk duduk dan bersatu sekarang. Apa yang kita mahu adalah agar kerajaan persekutuan komited untuk menyokong dan melaksanakan hak-hak wilayah dan kewangan kita yang telah lama wujud,” katanya dalam kenyataan.
Bagaimanapun katanya, beliau yakin Muhyiddin Yassin adalah perdana menteri yang paling peka mengenai hak-hak Sabah dan Sarawak.
Katanya, sekiranya ada yang benar-benar dapat mengatakan bahawa ada perdana menteri lain yang akan mendengarkan masalah rakyat Sabah seperti Muhyiddin, pihaknya sedia mendengar, tetapi, pada masa ini tidak ada pemimpin lain sepertinya.
Dalam pada itu Jeffrey berkata, tawaran Perdana Menteri untuk bekerjasama dengan pembangkang adalah sikap diplomatik terpuji yang harus diterima demi kestabilan politik di negara ini.
Beliau berkata, berkata adalah jelas bahawa tumpuan utama Perdana Menteri Muhyiddin Yassin adalah memerangi Covid-19, dan beliau bersedia melakukan apa yang perlu untuk memastikan negara berada di landasan yang betul ke arah imuniti kelompok.
“Kerajaan Persekutuan melakukan semua yang mereka mampu untuk menstabilkan ekonomi dan politik, dan amat menyedihkan apabila beberapa ahli politik tetap berkeras ingin menggagalkan usaha ini seolah-olah mereka hanya memikirkan kedudukan mereka dan bukannya penderitaan rakyat,” katanya.
Jeffrey berkata, perdana menteri telah menjanjikan beberapa reformasi, dan mereka yang setuju dengan pembaharuan ini harus mengambil tawaran itu sementara menunggu pilihan raya umum dijalankan.
“Apa yang penting sekarang adalah memerangi Covid-19. Jumlah kes harian masih terlalu tinggi untuk mengambil risiko mengadakan pilihan raya umum,” katanya.