Tak sempat ambil bekalan vaksin, pemandu ambulans maut kemalangan

Tak sempat ambil bekalan vaksin, pemandu ambulans maut kemalangan

Ketika kejadian ambulans itu dalam perjalanan dari Kluang ke Hospital Permai untuk mengambil bekalan vaksin.

Keadaan ambulans KKM yang terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori di KM9.7 Lebuhraya Utara-Selatan menghala ke Skudai, Johor hari ini. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang pemandu ambulans Kementerian Kesihatan (KKM) yang dalam perjalanan mengambil bekalan vaksin, maut di KM9.7 Lebuhraya Utara-Selatan menghala ke Skudai, Johor, hari ini.

Kemalangan pada 11.58 pagi itu turut membabitkan sebuah lori yang membawa muatan berat.

Pemandu yang berusia 49 tahun, Shamsul Shamshuri, tersepit di bahagian pemandu dan meninggal dunia di tempat kejadian dipercayai akibat kecederaan parah.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin, Suhaimi Abdul Jamal berkata, semasa tiba di lokasi kejadian, empat kakitangan KKM, termasuk pemandu terperangkap dalam kenderaan terbabit.

Katanya, 14 anggota dari BBP Larkin dan BBP Skudai dengan lima jentera yang dikejarkan ke tempat kejadian menggunakan “rescue cutter” untuk mengeluarkan semua mangsa dalam tempoh kira-kira 11 minit.

“Bomba dimaklumkan van KKM tersebut dalam perjalanan dari Kluang ke Hospital Permai untuk mengambil bekalan vaksin,” katanya menurut laporan Utusan Malaysia.

Beliau berkata, dua lagi mangsa yang menaiki ambulans itu cedera, sementara pemandu lori berkenaan terselamat.

Selain Shamsul, tiga lagi kakitangan KKM adalah Rosnilam Satari, 48; Azlina Mohd Rawi, 41 dan Amelia Pek Ying Hung, 26.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Rupiah Abd Wahid dipetik sebagai berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.