
Antara perubahan yang diperlukan adalah melantik Jemaah Menteri bipartisan yang lebih kecil, bukan yang berlebihan seperti yang dibentuk oleh Muhyiddin Yassin.
Jemaah Menteri Ismail mestilah ringkas dan dianggotai individu yang berkebolehan dan layak, “bukan 114 Ahli Parlimen yang menyokong beliau”, kata Aslam kepada FMT.
.
“Sehingga pilihan raya umum (PRU) berikutnya, Jemaah Menteri baharu secara idealnya harus menjadi pasukan rentas parti, yang mempromosi idea kerajaan perpaduan.
“Oleh itu kerajaan juga perlu memastikan penyertaan bermakna Ahli Parlimen pembangkang, bukan hanya jawatan token yang tiada kuasa atau suara sebenar,” katanya.

Ia juga perlu melibatkan ahli profesional dan pakar untuk menyelesaikan cabaran kesihatan serta tekanan ekonomi, tambahnya.
Aslam berkata, model lama politik perkauman menimbulkan akibat yang tidak diingini, termasuk ketidakcekapan, pembaziran, kebocoran dan rasuah.
“Sistem ini bukan sahaja mencipta budaya ‘orang tengah’ yang mempromosi kelas ‘rentier’, iaitu golongan yang mendapat bahagian mereka tanpa melakukan apa-apa yang produktif, malah mempolarisasi masyarakat antara kumpulan etnik dan mewujudkan kumpulan terpinggir,” katanya.
Jemaah Menteri baharu mesti dapat menanam keyakinan dalam kalangan masyarakat dan pelabur.
Kata Aslam, model lama politik perpecahan menyebabkan krisis ekonomi yang serius.
“Kemiskinan meningkat, pendapatan dan gaji menurun, perniagaan mikro dan kecil gulung tikar dan pelaburan berada pada tahap terendah.
“Politik perpecahan yang lama dan pengurusan dasar ekonomi yang tidak cekap juga harus dipersalahkan atas kegagalan ini,” katanya.
Beliau menyarankan agar model yang serupa dengan ekonomi pasaran sosial, yang mengiktiraf peranan individu atau pasaran tetapi dengan keseimbangan sosial, diterapkan untuk mengembalikan negara ke landasan yang betul.
“Model ini perlu menekankan rangka kerja yang lebih berperikemanusiaan dan beretika. Pembuatan keputusan ekonomi seseorang mestilah mengambil kira orang lain.
“Keuntungan secara individu mesti diseimbangkan dengan tanggungjawab sosial. Jika model ini berjaya disesuaikan, ia boleh menjadi asas model Malaysia tulen untuk masa depan,” katanya.