
Presidennya, Adnan Mat berkata, cadangan berkenaan dilihat tidak memberi sebarang manfaat, terutamanya kepada kebajikan penjawat awam.
“Penjawat awam di bahagian penyajian sedia ada mampu serta berkelayakan, selain berkapasiti membangunkan perkhidmatan ke tahap lebih baik.
“Ketika ini, pembantu penyediaan makanan atau jurusajian makanan menyediakan masakan di dalam hospital dan diagihkan dengan lebih cepat, namun apabila diswastakan, mereka ini akan berada dalam kumpulan lain dan ditempatkan di hospital lebih jauh,” katanya dalam sidang media hari ini.
Adnan berkata, pihaknya juga bimbang pengendali swasta tidak mampu memberi perkhidmatan terbaik dan bermutu seperti dilaksanakan dalam penyediaan makanan hospital selama ini.
Justeru katanya, kerajaan perlu mengadakan sesi libat urus dan tidak melaksanakan penswastaan kerana ia dilihat akan memberi kesan kepada pekerja serta tidak munasabah disebabkan pihak swasta menggunakan maklumat daripada kerajaan untuk mendapat manfaat secara terus.
“Sebuah syarikat swasta menghantar permohonan untuk mengambil alih perkhidmatan sajian makanan di hospital kerajaan melalui surat mereka pada 22 Dis 2021.
“Selepas CUEPACS meneliti cadangan itu, kami juga tidak dipanggil oleh kementerian untuk mengadakan sesi libat urus, sebaliknya kami diarah menyediakan maklumat kepada syarikat swasta berkenaan untuk mereka membuat cadangan penswastaan itu.”
Beliau berkata, perkara itu tidak sepatutnya berlaku kerana kerajaan tidak patut hanya melihat dari konteks keuntungan semata-mata.