
Veteran Umno, Shahrir Samad berkata, tindakan sedemikian hanya akan menjejaskan masa depan rakyat dan negeri.
“PRN ini bukan untuk melepaskan geram kerana hasutan atau polemik politik, ia serius bagi masa depan lima tahun akan datang. Ini bukan tempoh masa yang pendek,” katanya ketika diwawancara dalam program Suara Johor yang disiarkan di Bernama TV hari ini.
Sebagai contoh, katanya, Barisan Nasional (BN) Johor sebelum ini merancang pelbagai program bagi pembangunan negeri dan rakyat, namun terbantut selepas parti itu tewas pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
Justeru, Ketua Umno Bahagian Johor Bahru itu berkata, kestabilan politik yang diperjuangkan parti tersebut menerusi Ikhtiar BN amat penting dalam merencana masa depan Johor.
Ikhtiar BN Johor menggariskan lima teras utama, iaitu kemajuan ekonomi, kesejahteraan rakyat, ikhtiar khusus untuk orang muda, membudayakan pentadbiran berintegriti dan melaksanakan reformasi politik.
Shahrir yakin kepimpinan Menteri Besar, Hasni Mohammad mampu mengangkat Johor sebagai sebuah negeri makmur yang mempunyai ekonomi maju dan infrastruktur moden.
“Beliau telah menstabilkan sedikit keadaan di Johor, tetapi beliau nak buat lebih lagi, dan dari segi pengalamannya, apabila digandingkan tenaga baharu kelak…boleh menubuhkan satu pasukan lebih mantap.”
Beliau berkata, sebelum Hasni, Johor mengalami pertukaran Menteri Besar selepas PRU14 melibatkan Allahyarham Osman Sapian di bawah Pakatan Harapan (PH) yang meletak jawatan dan diambil alih oleh Sahruddin Jamal sebelum kejatuhan PH.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 12 Mac ini sebagai hari pengundian PRN Johor, manakala undi awal pada 8 Mac.