
Ketua Umno Bahagian Johor Bahru, Shahrir Abdul Samad berkata, tindakan Muhyiddin mengumumkan dirinya sebagai penasihat ekonomi Johor sekiranya PN memenangi PRN itu turut memberi isyarat tiada keyakinan terhadap kalangan calon PN yang bertanding.
“Semua orang bertanding kena tunjukkan keyakinan kemenangan, itu biasalah. Tetapi dalam pilihan raya, perlu membentangkan calon-calonnya siapa yang bakal diangkat menjadi Menteri Besar, siapa yang hendak memberi kepemimpinan.
“Jangan jadi macam dahulu, dua orang menjadi Menteri Besar daripada parti sama kemudian kedua-duanya gagal sebagai Menteri Besar,” katanya menurut laporan Utusan Malaysia.
Beliau turut menyifatkan tindakan Muhyiddin itu sebagai tidak yakin kepada rakan sekutunya PAS dan juga parti yang diketuainya sendiri, iaitu Bersatu.
Shahrir berkata, langkah menamakan calon Menteri Besar amat penting kerana parti yang bertanding mempunyai tujuan untuk membentuk kerajaan negeri.
“Siapa akan menjadi pemimpin jika mereka menang pilihan raya Johor? Takkan beliau (Muhyiddin) hanya menyatakan menjadi penasihat ekonomi boleh memberikan keyakinan kepada pengundi, ia tidak munasabah.
“PN yang bertanding sama jumlah kerusi dengan BN tidak tahu siapa jadi Menteri Besar. Hanya tawaran Muhyiddin sebagai penasihat ekonomi, ini maknanya 56 campur satu untuk ‘standby plus one’,” kata Shahrir.
Terdahulu, BN Johor mengetengahkan Hasni Mohammad sebagai calon Menteri Besarnya.