Dr M tak lagi berpengaruh dalam kalangan Melayu, Pejuang sekadar ‘kelab peminat’, kata penganalis

Dr M tak lagi berpengaruh dalam kalangan Melayu, Pejuang sekadar ‘kelab peminat’, kata penganalis

Keputusan tak rasmi menunjukkan Pejuang gagal menang sebarang kerusi pada PRN Johor.

Parti baharu bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, Pejuang, gagal menang sebarang kerusi pada PRN Johor.
PETALING JAYA:
Bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad telah hilang pengaruhnya terhadap orang Melayu susulan kegagalan partinya, Pejuang, untuk memenangi sebarang kerusi pada PRN Johor.

Keputusan tidak rasmi menunjukkan parti itu langsung tidak meraih satu pun daripada 42 kerusi ditandingi.

James Chin dari Institut Asia University of Tasmania berkata, kegagalan Pejuang disebabkan parti itu “sekadar kelab peminat Mahathir”, malah tambahnya, parti itu tidak akan dipandang serius lagi selepas ini.

Menurutnya, ini juga bererti Mahathir telah hilang pengaruh dalam kalangan pengundi Melayu, seterusnya memusnahkan harapan parti berkenaan untuk berkuasa dalam kerajaan persekutuan pada PRU akan datang.

Mahathir mengumumkan parti politik baharunya itu pada Ogos 2020, selepas meninggalkan Bersatu pada awal tahun sama.

Mengulas prestasi parti Sabah, Warisan, yang membuat kemunculan tunggal pada pilihan raya di Semenanjung, Chin berkata parti itu sedia tahu ia tidak akan menang sebarang kerusi di Johor.

“Mereka sekadar mahu mengibarkan bendera di situ dan membuktikan bahawa parti politik Tanah Melayu tidak lagi bersifat pelbagai bangsa,” katanya.

Chin berkata, masalah kepimpinan dan dalaman parti menyukarkan Warisan memberi sebarang impak.

“Namun mereka tetap akan mencuba,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.