
Dalam kenyataan hari ini katanya, individu terbabit wajib menggantikan puasa mereka selepas Ramadan berakhir.
“Waktu berbuka puasa bersandarkan terbenamnya matahari berdasarkan nas syarak, bukannya bersandarkan laungan azan di radio atau seumpamanya serta keadaan langit ketika itu.
“Pada dasarnya, di sisi syarak puasa bagi mereka yang berbuka puasa awal daripada waktu sebenar kerana mengikut azan di radio dikira terbatal dan wajib menggantikan puasa mereka itu setelah berakhirnya bulan Ramadan,” menurut kenyataan itu.
Pejabat Mufti Sabah menyifatkan langkah stesen radio mengumandang azan sebagai tanda masuk waktu dan berbuka puasa sebagai usaha murni yang sangat baik.
Bagaimanapun katanya, stesen radio perlu lebih teliti dan cermat bagi mengelakkan kesilapan itu berulang kelak.
“Umat Islam hendaklah sentiasa cermat dan berhati-hati berkaitan waktu berbuka puasa.
“Sehubungan itu, disarankan umat Islam merujuk takwim berbuka puasa yang dikeluarkan pihak berautoriti demi memastikan perkara seumpama ini tidak berlaku lagi,” katanya.
Semalam, seorang penyampai Radio Tawau FM memohon maaf kerana menyiarkan azan Maghrib empat minit lebih awal daripada waktu sepatutnya pada hari pertama Ramadan.
Mohd Safwan Junit menerusi Facebooknya mengaku tersilap menyiarkan azan Maghrib pada 6.16 petang, sedangkan waktu berbuka sebenar ialah 6.20 petang.