Juri AS sambung pertimbangan perbicaraan rasuah 1MDB bekas pegawai bank Goldman Sachs

Juri AS sambung pertimbangan perbicaraan rasuah 1MDB bekas pegawai bank Goldman Sachs

Pertimbangan bermula Selasa selepas perbicaraan selama hampir dua bulan di Mahkamah Persekutuan di Brooklyn.

Roger Ng mengaku tidak bersalah bersubahat melakukan pengubahan wang haram dan melanggar undang-undang anti-rasuah. (Gambar AP)
NEW YORK:
Juri Mahkamah Persekutuan di Brooklyn Amerika Syarikat (AS) meneruskan pertimbangan dalam perbicaraan bekas pegawai bank Goldman Sachs yang dituduh membantu menyelewengkan berbilion dolar daripada 1MDB.

Pendakwa raya berkata Roger Ng, bekas pegawai bank pelaburan tertinggi Goldman Sachs di Malaysia, membantu bekas ketuanya Tim Leissner untuk menggelapkan dana 1MDB, mengubah hasilnya dan merasuah pegawai bagi mendapatkan urus niaga untuk Goldman.

Ng, 49, mengaku tidak bersalah bersubahat dalam pengubahan wang dan melanggar undang-undang antirasuah. Peguamnya berkata Leissner, yang mengaku bersalah atas pertuduhan serupa pada 2018 dan bersetuju untuk bekerjasama dengan pendakwa, secara palsu membabitkan Ng dengan harapan menerima hukuman ringan.

Tuduhan-tuduhan itu berkait salah satu skandal kewangan terbesar dalam sejarah.

Pendakwa berkata, Goldman membantu 1MDB mengumpul USD6.5 bilion melalui tiga jualan bon, tetapi USD4.5 bilion telah dialihkan kepada pegawai kerajaan, jurubank dan rakan sekutu mereka melalui rasuah dan sogokan antara 2009 dan 2015.

Ng ialah orang pertama, dan mungkin satu-satunya, yang menghadapi perbicaraan di AS berhubung skim itu. Goldman pada 2020 membayar denda hampir USD3 bilion dan unit Malaysia bersetuju untuk mengaku bersalah.

Dalam perbicaraan hampir dua bulan di mahkamah Brooklyn, juri mendengar keterangan daripada Leissner selama sembilan hari, yang antara lainnya memberitahu mahkamah dia memberi sogokan kepada Ng sebanyak USD35 juta.

Leissner berkata, mereka bersetuju untuk “merekayasa cerita” bahawa wang itu adalah hasil urusan perniagaan yang sah antara isteri mereka.

Isteri Ng, Lim Hwee Bin kemudiannya turut memberi keterangan untuk pembelaan, mengakui urusan perniagaan itu sah.

Katanya, dia melabur USD6 juta pada pertengahan 2000 dalam sebuah syarikat China milik keluarga isteri Leissner pada masa itu, dan wang USD35 juta terbabit adalah pulangan daripada pelaburan itu.

Dalam hujah penutupnya pada Isnin, peguam Ng, Marc Agnifilo, menegaskan kepada juri bahawa Leissner tidak boleh dipercayai.

Dalam pada itu, pendakwa, Alixandra Smith berkata dalam hujah penutupnya, keterangan lain menyokong keterangan Leissner.

Individu yang disyaki menjadi dalang skim itu, iaitu ahli perniagaan Malaysia dalam buruan Jho Low, telah didakwa bersama Ng pada 2018, tetapi dia masih bebas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.