
Hakim Ravinthran Paramaguru membenarkan permohonan ikat jaminnya hari ini selepas Timbalan Pendakwa Raya Manoj Kurup memberitahu mahkamah bahawa pihak pendakwaan tidak mempunyai sebarang bantahan.
Panel hakim yang turut dianggotai Lee Heng Cheong dan Mohd Nazlan Mohd Ghazali turut memberikan kebenaran kepada Sam untuk membuat rayuan dalam prosiding hari ini.
Tonton video di sini.
Sam mengemukakan enam soalan undang-undang untuk diputuskan pada perbicaraan penuh nanti. Antaranya ialah sama ada kenyataannya dari kandang tertuduh yang diberikan ketika perbicaraan pembelaan boleh diterima dan disertakan dengan bukti lain.
Minggu lalu, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara enam tahun dan denda RM6,000 ke atas Sam, 27, selepas didapati bersalah atas pertuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja berbasikal lajak lima tahun lalu.
Mahkamah memutuskan bahawa dia gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan terhadapnya.
Sam tidak dibenarkan diikat jamin sementara menunggu permohonan untuk mendapatkan kebenaran merayu dan diperintahkan menjalani hukuman serta merta.
Peguamnya, Faizal Mokhtar, memberitahu Mahkamah Rayuan hari ini bahawa Sam bukanlah berisiko untuk melarikan diri (flight risk) dan dia menghadiri setiap sesi pendengaran di mahkamah.
“Malah ketika pihak pendakwaan dan pembelaan dijangkiti Covid-19 pada perbicaraan, dia masih datang ke mahkamah,” katanya.