
Akhirnya, selepas berminggu-minggu spekulasi berlegar, muncul apa yang dikatakan sebagai suatu pengesahan bahawa memang ada persetujuan antara calon perdana menteri ketika itu, Ismail dan orang yang digantinya, Muhyiddin, tentang melantik seorang ahli Bersatu sebagai timbalan perdana menteri.
Meskipun dokumen itu belum disahkan, soal melantik ahli Bersatu sebagai timbalan perdana menteri menimbulkan beberapa persoalan, sejak ia mula dibangkitkan Muhyiddin awal bulan ini.
Antara yang perlu dijawab adalah sama ada pimpinan kanan Umno sedar tentang perjanjian itu, dan lebih penting lagi, apakah lima pemimpin tertinggi parti itu mengizinkan perjanjian seperti itu dibuat.
Turut menjadi tanda tanya adalah masa dan kewajarannya. Andai benar ada perjanjian sebegitu rupa, kenapa baru sekarang Bersatu menuntutnya? Kenapa jawatan itu tiba-tiba jadi amat penting sedangkan kurang setahun lagi PRU15 bakal berkunjung.
Semua pihak maklum, jawatan timbalan perdana menteri membuka peluang untuk “set semula” dinamik kuasa sekiranya perdana menteri meletak jawatan, memandangkan cabang eksekutif kerajaan memiliki kuasa yang luas, lebih-lebih lagi dalam landskap politik semasa yang tidak stabil.
Beberapa penganalisis merasakan prospek Bersatu malap sejak pengunduran Muhyiddin, malah parti itu tewas pada PRN Johor dan Melaka, serta ada Ahli Parlimennya keluar parti.
Jeniri Amir, felo di Majlis Profesor Negara, berkata Ismail tidak perlu akur kepada tuntutan Bersatu sekalipun ada perjanjian antara mereka, kerana pelantikan Jemaah Menteri merupakan hak perdana menteri.
“Jawatan itu amat penting bagi Bersatu. Ia akan beri talian hayat kepada mereka, terutama ketika kerajaan berdiri atas majoriti sokongan yang kecil,” katanya kepada FMT.
“Sekiranya perdana menteri letak jawatan, maka TPM akan ambil alih nakhoda dan boleh membentuk semula kerajaan. Jadi tak masuk akal kalau Umno bersetuju menyerahkan jawatan TPM kepada Bersatu.”
Jeniri percaya PRU hanya akan diadakan selepas penggal Parlimen sekarang tamat pada 2023, sekiranya Bersatu menduduki kerusi TPM dan Ismail meletak jawatan.
Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura tidak terkejut sekiranya “perjanjian politik” dibuat sebelum Ismail dilantik sebagai perdana menteri, walaupun tanpa diketahui Umno.
“Namun Bersatu harus berwaspada kerana pelantikan seorang TPM daripada Bersatu akan mencetuskan perebutan kuasa baharu dalam parti,” katanya.