Hanya Anwar mampu bawa kestabilan di negara ini, kata pemimpin PKR

Hanya Anwar mampu bawa kestabilan di negara ini, kata pemimpin PKR

Dr Sathia Prakash Nadarajah yang baharu dipilih sebagai ketua bahagian PKR Hulu Selangor berkata pengkhianatan yang berlaku pada Feb 2020 tidak boleh dibiarkan berulang.

Ketua Bahagian PKR Hulu Selangor Dr Sathia Prakash Nadarajah (kiri) bersama Presiden PKR Anwar Ibrahim. Sathia menggesa semua ahli PKR  terus menyokong Anwar untuk mengetuai parti itu. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin bahagian PKR menuntut seluruh ahli parti fokus dan tidak menyerang satu sama lain, menjelang pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Dr Sathia Prakash Nadarajah yang baharu dipilih sebagai ketua bahagian PKR Hulu Selangor, berkata paling penting peristiwa pengkhianatan terhadap Pakatan Harapan (PH), pada Feb 2020, tidak berulang.

Beliau juga menggesa semua ahli PKR menyokong presiden, Anwar Ibrahim, mengetuai parti itu.

“Paling penting saya rasa pengkhianatan telah berlaku pada Feb 2020 dan ramai kecewa. Saya sertai politik pertama sekali untuk pastikan pengkhianatan itu tak berlaku sekali lagi,” katanya kepada FMT.

Sebelum ini, Sathia menewaskan Ahli Parlimen Hulu Selangor June Leow Hsiad Hui, bagi jawatan ketua bahagian.

Leow merupakan penyandang ketua bahagian selama dua penggal memperolehi 1,518 undi, berbanding Sathia, 1,807 undi, dengan kemenangan majoriti 289 undi. Dalam pada itu, seorang lagi calon ketua bahagian, Azizan Zakari, hanya memperoleh 146 undi.

Sathia ketika mengulas lanjut, berkata beliau berpandangan hanya Anwar sahaja mampu membawa kestabilan kepada negara.

Beliau berkata, apa yang menguatkan semangatnya untuk ‘turun padang’ berkhidmat pada masyarakat apabila seringkali diminta pesakitnya untuk bantu PKR.

Katanya, beliau menyertai PKR sejak 2008 dan tahun ini pertama kali mengetuai bahagian Hulu Selangor.

“Kalau kita tengok secara keseluruhannya ada banyak idea Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli. Lepas mencapai kemenangan, kita perlu gerak kerja bersama-sama,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.