PRU15 ‘luar biasa’, isu lebih banyak banding 1MDB, GST, kata Shafie

PRU15 ‘luar biasa’, isu lebih banyak banding 1MDB, GST, kata Shafie

Presiden Warisan berkata semua parti ada kelebihan memandangkan kerajaan pada PRU14 dapat dikalahkan dengan hanya dua isu besar itu.

Presiden Warisan Shafie Apdal berkata gelombang PRU15 dilihat berbeza berbanding sebelum ini memandangkan negara sedang berdepan pelbagai isu yang membelenggu rakyat secara keseluruhan.
PETALING JAYA:
Warisan meramalkan gelombang pilihan raya umum ke-15 (PRU15) lebih “luar biasa”, berbanding PRU14 susulan pembangkang ketika itu mampu membentuk kerajaan dengan hanya dua isu besar, 1MDB dan cukai barang dan perkhidmatan (GST).

Presidennya, Shafie Apdal, berkata semua parti politik termasuk Warisan mempunyai kelebihan.

Katanya, ketika ini pelbagai isu berbangkit terutama membabitkan kenaikan harga barang yang sehingga kini belum mampu diselesaikan.

“Menjelang PRU15, pelbagai isu berbangkit khususnya desakan hidup rakyat selepas kenaikan harga barangan yang sehingga kini belum dapat diselesaikan. Gelombang PRU15 dilihat berbeza berbanding sebelum ini memandangkan negara sedang berdepan pelbagai isu yang membelenggu rakyat secara keseluruhan.

“Saya jangkakan bukan mudah untuk mana-mana parti menyatakan mereka boleh menang dalam PRU15 ini dan semua parti politik mempunyai kelebihan, selain rakyat mempunyai lebih banyak pilihan dalam pilihan raya nanti,” katanya menurut Utusan Malaysia.

Semalam, Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan, mencadangkan Oktober dan November merupakan tempoh sesuai mengadakan PRU15.

Menurut Harian Metro, Mohamad secara peribadi melihat tempoh berkenaan adalah ideal kerana pembentangan bajet dapat diawalkan sebelum pembubaran Parlimen dilakukan.

“Ini pandangan saya, bukan perdana menteri yang cakap. Saya cadangkan kita awalkan pembentangan bajet untuk mengelak diadakan PRU pada sekitar hujung bulan November dan Disember kerana musim banjir,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.