PRU15: PN P Pinang selesai agih kerusi Parlimen

PRU15: PN P Pinang selesai agih kerusi Parlimen

Semua parti komponen sudah menyerahkan senarai nama ketua badan perhubungan kawasan Parlimen masing-masing untuk gerak kerja dimulakan segera.

Ketua Perikatan Nasional (PN) Pulau Pinang, Dominic Lau, berkata agihan kerusi antara Bersatu, PAS dan Gerakan di negeri itu bagi kerusi Parlimen selesai.
PETALING JAYA:
Agihan kerusi Perikatan Nasional (PN) Pulau Pinang membabitkan 13 kawasan Parlimen selesai dilakukan antara tiga komponennya, Bersatu, PAS dan Gerakan.

Ketua PN negeri, Dominic Lau, berkata ketiga-tiga parti komponen juga sudah membincangkan hal ehwal dan kesiapsiagaan menjelang pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

“PN Pulau Pinang akan mengadakan satu majlis pelancaran dalam masa yang singkat, dan satu retreat (pemukiman) akan diadakan selepas itu bagi merangka pelan tindakan untuk menghadapi PRU akan datang,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, semua parti komponen sudah menyerahkan senarai nama ketua badan perhubungan kawasan Parlimen masing-masing supaya gerak kerja dapat dimulakan secepat mungkin.

Katanya, ketua badan perhubungan itu dinasihatkan turun ke padang dan memberi perkhidmatan kepada rakyat di kawasan masing-masing secara proaktif sebaik sahaja kerja pelantikan dimuktamadkan.

“Di sini, ingin saya tegaskan bahawa ketua-ketua badan perhubungan kawasan Parlimen yang dilantik tidak semestinya dipilih sebagai calon bagi PRU akan datang,” katanya.

Beliau yang juga presiden Gerakan berkata, ketua badan perhubungan kawasan harus memahami isu dihadapi rakyat setempat, memberi bantuan serta membela kepentingan rakyat tanpa mengambil kira bangsa dan agama.

Tahun lalu, Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin, berkata komponen parti bersetuju menyelesaikan agihan kerusi di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.