
Pengerusi Umno Wilayah Persekutuan, Johari Ghani berkata menghalang pertandingan dalam parti hanya akan memendam sengketa dalam kalangan ahli.
“Budaya jangan (bertanding) sini jangan (bertanding) sana tak boleh dah. Kalau iya pun orang ikut, tapi dalam hati dia tak ikut. Ada cerita di belakang. Lagi sakit hati,” katanya dalam wawancara Umno Online.
Johari menarik perhatian kepada pengalaman pesaing Umno yang menjalankan pemilihan sebelum PRU15, dan menghasilkan prestasi yang lebih baik.
“Sebelum kita nak berdepan PRU15, kita tukar perlembagaan untuk tunda pertandingan 18 bulan. Kita tambah lagi selepas PRU.
“Tengok PKR, DAP, PAS, mereka jalan dulu. Mereka bergasak juga. Akhirnya apa jadi? Pakatan Harapan bertanding menang 82 kerusi. PAS pula 49 daripada 74 kerusi.”
Johari menepis kebimbangan apabila rakyat melihat pertembungan dalam parti.
“Rakyat pun faham. Itu parti punya hal.”
Johari juga menyangkal demokrasi akan menyebabkan pergaduhan.
“Yang bergaduhnya kalau kita tipu undi. Akhirnya dia tak puas hati, bila tiba pilihan raya, itu yang dia jadi marah.”
Johari berkata ahli Umno harus ‘belajar’ mengundi tanpa dipaksa mana-mana pihak.
“Pemimpin datang dan pergi. Kita dah tukar berapa banyak dah.”