
Di Sabah, Telupid menjadi daerah terbaru terjejas mengakibatkan 95 orang daripada 26 keluarga terpaksa dipindahkan di PPS Dewan Kampung Bauto. Jumlah keseluruhan mangsa banjir di negeri itu meningkat kepada 1,376 orang daripada 522 keluarga yang ditempatkan di lapan PPS, berbanding 1,211 orang (471 keluarga) petang semalam.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah dalam kenyataan memaklumkan, Pitas mencatatkan jumlah mangsa teramai dengan 1,152 orang (450 keluarga) menghuni di dua PPS, diikuti Paitan seramai 86 orang (35 keluarga) di empat PPS dan Lahad Datu 43 orang (11 keluarga) di satu PPS.
JBPN Sabah turut menjangkakan jumlah mangsa banjir di Paitan dan Telupid akan meningkat, berikutan keadaan hujan yang masih berterusan, manakala keadaan di Pitas dan Lahad Datu pula dijangka kekal.
Di Pahang, keadaan banjir di Rompin semakin pulih apabila dua PPS ditutup petang tadi, menjadikan hanya satu PPS, iaitu SK Denai yang masih beroperasi bagi menempatkan 27 mangsa (lapan keluarga) malam tadi.
Sekretariat JPBN Pahang melaporkan dua PPS yang ditutup pada 4 petang semalam ialah Kampung Setajam dan Balai Raya Kampung Jawa, yang menempatkan jumlah mangsa banjir terakhir masing-masing 171 dan 21 orang.
Manakala, paras Sungai Keratong di Rompin masih kekal melepasi paras bahaya.
Di Johor, jumlah mangsa banjir menurun kepada 2,113 orang setakat 8 malam tadi berbanding 2,157 orang yang direkodkan pada 4 petang, susulan penutupan sebuah PPS.
JBPN Johor memaklumkan sebanyak 22 buah PPS masih beroperasi di daerah Batu Pahat, Mersing, Kota Tinggi dan Segamat.
Daerah Batu Pahat masih merekodkan jumlah mangsa tertinggi dengan 854 orang, diikuti Mersing (823) orang, Kota Tinggi (344) dan Segamat (92), menurut kenyataan JBPN.