Kes sita akaun: Hakim Ahmad Kamal dengar permohonan semakan kehakiman Bersatu

Kes sita akaun: Hakim Ahmad Kamal dengar permohonan semakan kehakiman Bersatu

Ahmad Kamal Md Shahid adalah hakim sama membenarkan prosiding semakan kehakiman mencabar tindakan pembekuan akaun parti itu dan larangan perjalanan terhadap Muhyiddin Yassin.

Hakim Mahkamah Tinggi Wan Ahmad Farid membenarkan permohonan Bersatu agar kes itu didengar Hakim Ahmad Kamal Md Shahid. (Gambar Pexel)
KUALA LUMPUR:
Permohonan semakan kehakiman kedua difailkan Bersatu terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana menyita dua akaun banknya akan didengar Hakim Mahkamah Tinggi Ahmad Kamal Md Shahid.

Peguam Rosli Dahlan, ketika mengesahkan perkara itu, berkata pada prosiding hari ini yang berlangsung secara dalam talian, Hakim Mahkamah Tinggi Wan Ahmad Farid membenarkan permohonan Bersatu agar kes itu didengar Ahmad Kamal.

Rosli, yang mewakili Bersatu, juga berkata memandangkan permohonan itu tidak dibantah pihak Jabatan Peguam Negara, mahkamah menetapkan 14 Julai sebagai tarikh pengurusan kes berikutnya.

Untuk rekod, pada Mei lalu, Ahmad Kamal membenarkan permohonan parti itu untuk memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mencabar keputusan SPRM membekukan akaun banknya dan perintah larangan perjalanan oleh Jabatan Imigresen terhadap Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin.

Pada 29 Mei, Setiausaha Kerja Bersatu Muhammad Suhaimi Yahya, memfailkan permohonan bagi kebenaran memulakan semakan kehakiman itu melalui firma guaman Tetuan Chetan Jethwani & Co dengan menamakan Peguam Negara Idrus Harun, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki, dan 20 individu lain sebagai responden

Bersatu mendakwa pada 19 April lalu, akaun CIMB dan AmBank milik parti itu telah disita tanpa membuat serahan perintah mengikut Seksyen 50(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Parti itu mendakwa SPRM membuat kenyataan media pada 20 April bahawa kedua-dua akaun disita pada 11 April, namun agensi itu tidak pernah memaklumkan perkara tersebut kepada Bersatu pada tarikh terbabit.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.