
Hakim Alice Loke membenarkan permohonan itu dengan memutuskan isu itu bukan sepenuhnya bersifat akademik dan wajar dibicarakan.
Pemohon memohon perintah certiorari untuk membatalkan notis bertarikh 3 April dan 9 April tahun lalu yang menuntut mereka mengosongkan Menara Kuala Lumpur.
Mereka juga mahu menghalang pengeluaran sebarang notis baru di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara 1965 sehingga permohonan semakan kehakiman dan sebarang rayuan berkaitan selesai diputuskan.
Selain itu, pemohon mahu mahkamah memaksa pihak responden — pesuruhjaya tanah, kerajaan persekutuan dan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil — untuk mengemukakan semua surat-menyurat, dokumen dan rekod berkaitan yang bertukar tangan antara 27 Mac 2025 hingga 9 April 2025.
Mereka turut memohon pengisytiharan bahawa notis yang dipertikaikan adalah tidak sah, haram, batal dan tiada kesan undang-undang, dengan alasan keputusan itu dibuat dengan niat tidak baik (mala fide) dan merupakan penyalahgunaan proses.
Dalam menentang permohonan kebenaran itu, Pejabat Peguam Negara (AGC) berhujah bahawa perkara itu telah menjadi akademik, tetapi hujah ini ditolak mahkamah.
AGC mendakwa tiada prosiding yang masih berjalan selepas permohonan injunksi sementara oleh pemohon ditolak Mahkamah Tinggi pada Jun tahun lalu.
Mereka juga berhujah pemohon telah mengosongkan Menara Kuala Lumpur dan bukan lagi pengendali menara itu, menjadikan tuntutan mereka bersifat akademik.
Peguam Vinayak Sri Ram mewakili pemohon, manakala peguam persekutuan Sallehuddin Ali mewakili Peguam Negara.
Pada Julai tahun lalu, Mahkamah Tinggi memutuskan saman sivil bernilai RM1 bilion difailkan oleh Hydroshoppe dan Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd terhadap responden berkaitan konsesi Menara Kuala Lumpur harus diteruskan ke perbicaraan kerana terdapat isu yang memerlukan penjelasan penuh.
Bagaimanapun, mahkamah mengetepikan pemegang konsesi baru, LSH Service Master Sdn Bhd, dan para pemegang sahamnya, LSH Best Builders Sdn Bhd serta Service Master (M) Sdn Bhd, sebagai pihak dalam saman itu.