
Menurut Berita Harian, empat mangsa maut itu dipercayai sekeluarga.
Kata laporan itu, mangsa meninggal dunia melibatkan seorang lelaki dewasa berusia 32 tahun, wanita dewasa berusia anggaran 30 tahun, dan 59 tahun serta seorang bayi perempuan berusia lingkungan lapan bulan.
Dua lagi mangsa iaitu kanak-kanak berusia lingkungan dua dan enam tahun dipercayai parah.
Pegawai Perhubungan Awam Bomba Kedah, Abdul Rahim Che Omar, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan itu pada 4.06 petang tadi.
Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba Kulim tiba di lokasi untuk melakukan operasi penyelamatan.
“Terdapat enam mangsa dalam kereta terbabit yang mana empat daripadanya dipercayai meninggal dunia selepas disahkan oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya.
Rahim berkata, berdasarkan maklumat diterima daripada komander operasi, semua mereka dipercayai tersepit dalam kenderaan.
Bagaimanapun, mereka berjaya dikeluarkan dengan bantuan anggota bomba dengan menggunakan peralatan khas.
“Mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Kulim dengan bantuan ambulans KKM, manakala empat yang meninggal dunia diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.