
Syed Saddiq menggesa bekas perdana menteri itu menyatukan rakyat Malaysia, dan bukannya memecah-belah.
“Kita tidak seharusnya mengimbau perbezaan sejarah masa lalu. Sebaliknya, kita harus menanti-nantikan apa yang menyatukan kita sebagai rakyat dalam satu negara.
“Serangan terhadap bukan Melayu dan bukan Bumiputera serupa serangan terhadap semua rakyat Malaysia,” katanya pada sidang media.
Tambahnya, kehidupan dan masa depan semua rakyat Malaysia tidak dapat dipisahkan antara satu sama lain.
“Apabila kita berjaya, kita berjaya sebagai sebuah negara, dan apabila gagal, kita gagal sebagai sebuah negara,” katanya.
“Tiada negara lain (orang bukan Melayu) boleh pergi jika kita gagal, kerana bagi orang Cina dan India Malaysia, negara ini tanah air mereka.”
Golongan bukan Melayu di negara ini sekarang terdiri daripada “generasi kedua, ketiga dan keempat yang dilahirkan di sini, tinggal di sini, belajar dan bekerja di sini, dan besar kemungkinan akan berada di sini sehingga hujung nyawa”, katanya.
Semalam, Mahathir mendakwa usaha mempromosikan negara ini sebagai berbilang kaum bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, yang “menekankan kemelayuan Malaysia”.
Beliau turut mempersoalkan sama ada kerajaan sedia ada tidak menghiraukan kedaulatan undang-undang, kerana Malaysia tidak pernah digambarkan sebagai sebuah negara berbilang kaum dalam Perlembagaan Persekutuan.