
Presidennya, Mukhriz Mahathir berkata, ini bagi mengelakkan undi Melayu berpecah selain mengelak pertembungan kerusi antara calon Pejuang dan PN.
”Kami mahu undi Melayu disatukan dan merasakan ini formula terbaik untuk memastikan kemenangan apabila berhadapan dengan gabungan PH-BN, itu hasrat kami.
”(Tetapi) buat masa ini, belum ada lagi keputusan dan kita menantikan kalau ada berita baik setelah Dr Mahathir (Mohamad) berjumpa Muhyiddin semalam.
“Respon pasang surut daripada PN,” katanya, menurut Utusan Malaysia.
Dua bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad dan Muhyiddin Yassin bertemu hampir dua jam malam tadi membincangkan kerjasama, selepas tiga tahun “bersengketa” angkara Langkah Sheraton.
Muhyiddin dalam kenyataan juga mengesahkan perjumpaan itu bagi meningkatkan sokongan kepada gabungan yang dipimpinnya menjelang PRN, selain mendedahkan beliau dan Mahathir tidak menyentuh agenda Proklamasi Orang Melayu secara khusus.
Mukhriz berkata, pihaknya menerima respon baik daripada kepimpinan PN sebelum ini namun kecewa apabila permohonan menyertai gabungan itu ditolak.
”Memang dari awal kami optimistik dan menerima respon positif, jadi apabila kami mohon (sertai PN) dan ditolak, kami rasa kecewa, sekarang timbul pula harapan itu, jadi kami harap PN dapat beri pertimbangan sewajarnya,” katanya.