
“Kita mencabar Sanusi untuk mengemukakan laporan mana yang membuat kesimpulan tersebut? Di mana ‘faktanya’? Fakta berdasarkan kajian apa?
“Kalau tidak dapat memberikan bukti, Sanusi patut memohon maaf secara terbuka,” katanya dalam kenyataan.
Sambil itu, Loke turut menyifatkan kenyataan Sanusi sebagai “kenyataan pukul rata” yang tidak berasas serta dapat menimbulkan perasaan kebencian antara kaum.
“Gejala rasuah perlu diperangi secara bersama dan setiap orang yang terlibat dalam rasuah adalah salah tidak kira latar belakang kaumnya. Rasuah tidak boleh dikaitkan dengan mana-mana kaum sama sekali. Salah tetap salah tak kira siapa,” katanya.
Loke yang juga menteri pengangkutan, berkata dakwaan berulang seperti itu bukti Perikatan Nasional (PN) perosak keharmonian kaum.
“Kenyataan berulangan seperti ini membuktikan bahawa Perikatan Nasional adalah perosak kepada keharmonian antara kaum di Malaysia dan perlu ditolak oleh masyarakat majmuk kita demi perpaduan rakyat Malaysia,” katanya.
Semalam, media melaporkan Sanusi mendakwa orang bukan Islam adalah paling banyak ditangkap kerana memberi dan menerima rasuah, ketika episod baru, audio siar “Keluar Sekejap”.
“(Mereka kata) Lebih baik orang bukan Islam baik daripada pemimpin Islam yang tak baik kerana mengamalkan rasuah. Tetapi bila tengok fakta, banyak ditangkap adalah orang bukan Islam,” katanya.
Apa dikatakan Sanusi senada dengan dakwaan Presiden PAS Abdul Hadi Awang, pada Ogos tahun lalu, yang mengaitkan gejala rasuah dengan bukan Islam dan bukan Bumiputera.