
Bekas ketua staf perisikan ESSCom Mat Zaki Md Zain dan enam anggota polis Rosdi Rastam, 44, Denis Anit, 44, Fabian Rungam, 43, Khairul Azman Bakar, 47, Mohd Azlan Sakaran, 39, dan John Kennedy Sanggah, 44, serta orang awam Vivien Fabian, 34, mengaku tak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Dr Lim Hock Leng.
Rosdi, Denis, Fabian, Khairul Azman, Azlan dan Vivien didakwa secara bersama-sama membunuh Nurman Bakaratu, 61, di sebuah ladang kelapa sawit berdekatan Jalan Anjur Juara, Jalan Apas Baru 5, Tawau antara 7.30 malam hingga 11.30 malam pada 13 Jan lepas.
Mereka dituduh melakukan perbuatan itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.
Mat Zaki pula menghadapi dua pertuduhan iaitu bersubahat membunuh Nurman bersama enam tertuduh itu dan satu lagi bersama John mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 302 kanun sama.
Mahkamah menetapkan 2 Jan hingga April tahun depan untuk perbicaraan kes ini.
Pendakwaan dikendalikan Ketua Bahagian Pendakwaan Jabatan Peguam Negara Manoj Kurup dibantu Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Iskandar Ahmad, Khairul Azreem Mamat serta Low Qin Hui.
Mat Zaki, Khairul Azman, Azlan, Vivien dan John Kennedy diwakili peguam Ram Singh, Kamarudin Mohmad Chinki, Chen Wen Jye, Timothy Dave dan Kimberly Ye.
Rosdi diwakili peguam Ansari Abdullah, Abdul Gani Zelika dan Erveana Ansari Ali; Dennis diwakili peguam Hairul Vaiyron Othman dan Luke Ressa Balang manakala Fabian diwakili peguam Sharatha Masyaroh John Ridwan Lincon, Zahbia Ophent dan Mohamed Zairi Zainal Abidin.
Pihak pendakwaan dijadual memanggil 25 hingga 30 saksi termasuk beberapa pakar untuk memberi keterangan manakala pihak pembelaan dijangka memanggil 32 saksi.
Pada 8 Feb lepas, Rosdi, Denis, Fabian, Khairul Azman, Mohd Azlan serta Vivien, didakwa di Mahkamah Majistret Tawau atas pertuduhan membunuh Nurman, manakala Mat Zaki didakwa bersubahat dengan enam tertuduh itu membunuh lelaki itu.
John pula, pada awalnya merupakan saksi kes pendakwaan, namun pada 11 April lepas lelaki itu dihadapkan ke Mahkamah Majistret bagi pertuduhan membunuh.
Pada 7 Julai lepas, Mat Zaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini kerana bersubahat dengan John untuk membunuh Nurman.