Polis ambil keterangan Muhyiddin Isnin

Polis ambil keterangan Muhyiddin Isnin

Timbalan Ketua Polis Negara Ayob Khan Mydin Pitchay mengesahkan rakaman percakapan akan dibuat di pejabat Mida, KL Sentral.

Muhyiddin Yassin akan memberi keterangan kepada polis Isnin depan.
PETALING JAYA:
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin akan diambil keterangan oleh polis Isnin depan berkait “fatwa” haram undi calon Pakatan Harapan (PH).

Timbalan Ketua Polis Negara, Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata pihaknya menerusi Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman sudah berhubung dengan bekas perdana menteri itu.

“Temu janji untuk rakaman percakapan terhadap Muhyiddin dijadualkan pada jam 10 pagi, Isnin depan.

“Rakaman percakapan akan dibuat di pejabat Mida, KL Sentral,” katanya menurut Berita Harian.

Beliau berkata, setakat ini dua laporan polis diterima berhubung isu sama dan salah satu laporan diklasifikasikan sebagai rujuk laporan pertama (ROR).

Semalam, Ketua Polis Negara, Razarudin Husain, mengesahkan kertas siasatan dibuka terhadap Muhyiddin yang didakwa mengeluarkan kenyataan bahawa “haram” untuk mengundi calon PH, Suhaizan Kayat pada PRK Pulai Sabtu ini.

Katanya, siasatan terhadap Muhyiddin dijalankan mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan yang menimbulkan ketakutan dan kegentaran awam, serta Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998.

Pada ceramah perdana di Dataran Utama Kempas, Johor Bahru, Sabtu lalu, Ahli Parlimen Pagoh itu didakwa mengeluarkan kenyataan bahawa “haram memberikan undi kepada Suhaizan.”

Dalam pada itu, Ayob berkata hanya satu kertas siasatan dibuka berhubung isu 3R (agama, bangsa, institusi diraja) sepanjang tempoh berkempen PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram.

“Kertas siasatan itu adalah membabitkan ceramah oleh Presiden PAS Abdul Hadi Awang yang menyentuh isu Lembaga Pengampunan, dalam ceramahnya di Markas PAS, Bakri, Muar, Johor, bulan lalu,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.