
Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP, Howard Lee, berkata sudah tiba masa untuk Syed Saddiq dan Muda membuat keputusan itu.
“Saya yakin dengan penarikan sokongan dan hilangnya Muda daripada kerajaan perpaduan, kita akan lebih mudah fokus.
“Tugasan kita dalam membina negara dan menjaga kebajikan rakyat akan lebih senang kerana tidak ada lagi keperluan untuk melayan kerenah ‘kebudak-budakan’ sesetengah individu dan parti,” kata Lee dalam kenyataan.
Semalam, Syed Saddiq yang juga Ahli Parlimen Muar, bersetuju dengan bekas Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin bahawa DAP menjadi “lap-dog” yang membenarkan penyalahgunaan kuasa berlaku.
Dia juga melabel DAP sebagai parti yang hipokrit, gila kuasa dan tiada prinsip.
Syed Saddiq berkata demikian selepas Naib Pengerusi DAP Nga Kor Ming berkata adalah lebih profesional sekiranya dia, selaku Ahli Parlimen menyokong kerajaan, berbincang dengan pucuk pimpinan berhubung perkembangan kes Zahid Hamidi, selain membuat kenyataan kepada media.
Lee berkata, Syed Saddiq tidak perlu bersikap kurang ajar dan bertindak kebudak-budakan untuk mendapat perhatian dan populariti.
Beliau juga mempersoalkan Syed Saddiq sama ada Muda akan tergolong sebagai “lap-dog” jika dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) oleh mahkamah membabitkan pertuduhan pecah amanah jenayah, penyelewengan aset dan pengubahan wang haram.
“Adakah parti dia sendiri juga akan tergolong ‘lap-dog’, hipokrit, gila kuasa dan tiada prinsip?” soal Lee.
Syed Saddiq memegang kerusi tunggal Muda di Dewan Rakyat. Parti itu menyokong kerajaan gabungan perpaduan yang ditubuhkan oleh Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan parti Malaysia Timur tetapi bukan ahli gabungan itu, yang menguasai 147 kerusi.
Pembangkang terdiri daripada Perikatan Nasional (PN), dianggotai Bersatu dan PAS, dan menguasai 74 kerusi.