
Dalam ucapan pembukaan Kongres Kebangsaan DAP, Lim berkata kerajaan perpaduan bukan sahaja mengekalkan majoriti dua pertiga di Parlimen dengan kemenangan di Pulai, malah menghancurkan keyakinan Perikatan Nasional (PN) menguasai DUN Simpang Jeram.
Semalam, PH mempertahankan Parlimen Pulai menerusi Suhaizan Kayat dengan majoriti 18,641 undi manakala Nazri Abdul Rahman di DUN Simpang Jeram menikmati majoriti 3,154 undi.
“Bagi parti DAP, saya begitu bangga bahawa di bawah pimpinan Setiausaha Agung kita, Anthony Loke (Loke Siew Fook) dengan memenangi 46 daripada 47 kerusi DUN yang dipertandingkan dalam PRN baru-baru ini dan juga membantu kemenangan besar semalam di Johor dengan sokongan lebih 90% daripada masyarakat bukan Melayu.
“Tentu sekali PN sebagai pakar fitnah akan memutar-belitkan kekalahan mereka sebagai suatu kemenangan kerana undi dah bertambah. Saya nak ingatkan PN bahawa mereka pernah sebut PRN enam negeri adalah referendum rakyat terhadap pimpinan perdana menteri,” katanya.
Beliau berkata, undi popular dimenangi PH dan Barisan Nasional dengan 49.5% berbanding 49.3% memihak PN.
“Perkara pokoknya ialah rakyat Malaysia tolak PN dan kita harus bina kemenangan di Johor sebagai satu landasan untuk memenangi balik semula kawasan PN.
“Kita tidak akan terikut-ikut dengan permainan kotor politik parti lawan yang memainkan sentimen kaum dan ekstremisme,” katanya.
Lim berkata, DAP harus mendedahkan politik fitnah, adu domba, kebencian, momokan, dan ugutan yang memecah belahkan rakyat tanpa manfaat kepada sesiapa pun.
“Jangan percaya serigala politik yang bertopengkan negarawan berprinsip atau orang muda yang mendukung politik lama dan yang penuh dengan hasad dengki semata-mata nak balas dendam.
“Rakyat sokong kerajaan perpaduan yang cekap uruskan ekonomi dan kos sara hidup. Takkan rakyat nak jadi mundur macam negeri-negeri yang ditadbirkan mereka sampai air bersih pun takda.”
Beliau berkata, kerajaan perpaduan berjaya mengawal kadar inflasi ke tahap terendah 2% berdasarkan statistik pada Julai.
Katanya, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP) yang diumumkan baru-baru ini bertujuan menarik pelaburan bernilai RM95 bilion agar gaji median bulanan berganda pada 2030.