Wan Junaidi tegur menteri tak hadir sesi Dewan Negara

Wan Junaidi tegur menteri tak hadir sesi Dewan Negara

Speaker Dewan Negara berkata kehadiran seorang menteri sangat penting dalam menjelaskan soalan yang dibangkitkan ahli Dewan Negara.

Speaker Dewan Negara Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata Jemaah Menteri harus menghormati sidang Dewan Negara kerana ia dewan tertinggi Parlimen. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Speaker Dewan Negara Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengingatkan Jemaah Menteri supaya menghormati institusi Parlimen dengan hadir menjawab soalan yang dikemukakan kepada kementerian yang diwakili.

Beliau berkata Dewan Negara harus dihormati dan kehadiran seorang menteri sangat penting dalam menjelaskan sesuatu persoalan yang dibangkitkan oleh ahli Dewan Negara.

“Saya memperingatkan, kalau perdana menteri boleh datang, kedua-kedua timbalan perdana menteri boleh datang (ke sidang Dewan Negara), takkan menteri tak boleh datang?

“Tak kan lah tempat ini rendah sangat untuk menteri datang. Ini dewan tertinggi Parlimen,” kata beliau semasa Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Khairul Firdaus Akbar Khan sedang menjawab pertanyaan pada sesi jawab lisan di Dewan Negara.

Terdahulu, Senator Amir Md Ghazali ketika mengemukakan soalan tambahan meminta penjelasan mengenai kedudukan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Tiong King Sing yang beliau dakwa tidak pernah hadir menjawab soalan sejak lebih lapan bulan beliau berada di Dewan Negara.

Wan Junaidi turut menegur Khairul Firdaus yang tidak menjawab soalan sebagaimana yang diajukan kepada kementerian itu.

“Yang berhormat jawab banyak pasal hal produk pelancongan, yang ditanya ini adalah sikap pemain industri (dan) bukan produk… harap kementerian buat betul-betul jawapan itu,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.