Warga emas dihanyut arus banjir ditemukan lemas

Warga emas dihanyut arus banjir ditemukan lemas

Lee Yie Chong, 62, ditemukan terdampar kira-kira 100 meter dari lokasi terakhir mangsa dilihat.

Polis berkata, mangsa yang dikatakan meredah banjir paras pinggang bersama isteri dan anak lelakinya hilang dihanyutkan arus deras akibat kepenatan. (Gambar Facebook)
KUANTAN:
Seorang warga emas yang dilaporkan hilang selepas hanyut ketika meredah banjir kilat di pekan Sungai Lembing semalam, ditemukan lemas tengah malam tadi.

Ketua Polis Kuantan Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata mayat Lee Yie Chong, 62, ditemukan pada 12.45 tengah malam, kira-kira 100 meter dari lokasi terakhir mangsa dilihat.

“Mangsa ditemukan terdampar di Kampung Jelihan Sungai Lembing dan buat masa ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya dalam kenyataan.

Lee yang merupakan pemilik kedai 3D Sungai Lembing dilaporkan hilang sekitar 7 petang semalam, semasa meredah air bersama isteri dan anak lelakinya untuk ke kereta yang diletakkan di tempat tinggi untuk pulang ke rumah.

Mangsa yang berjalan di tengah antara isteri dan anaknya, dikatakan mengadu kepenatan sebelum dihanyutkan arus deras.

Mereka sebelum itu memindahkan barangan di dalam kedai berikutan banjir kilat kerana hujan lebat berterusan sejak 3 petang, sekali gus menyebabkan air sungai melimpah ke kawasan pekan.

Bagaimanapun, banjir mulai surut dengan paras Sungai Lembing yang melepasi paras bahaya malam tadi, direkodkan pada paras waspada pagi ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.