
Ini menjadikan 91,171 kes sembuh daripada keseluruhan 115,078 kes COVID-19 di seluruh negara setakat ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, tiga kematian hari ini menjadikan keseluruhan 474 kes korban setakat ini.
Ia membabitkan dua lelaki dan seorang wanita berusia 58 hingga 94 tahun di Negeri Sembilan, KL serta Selangor.
Semua warganegara itu mempunyai latar belakang penyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi, buah pinggang dan jantung.
Kes baru hari ini membabitkan 2,066 kes penularan tempatan dan dua kes import.
Selangor mencatatkan jumlah kes tertinggi, iaitu 776 kes (37.5%), dengan 425 daripadanya dikesan daripada kluster dan saringan kontak rapat, disusuli Kuala Lumpur (457 kes) dan Sabah (254 kes).
“Sebanyak 18 kes (0.9%) yang dilaporkan berkaitan kluster di lokap, depot tahanan imigresen dan penjara yang membabitkan kluster Penjara Jalan Harapan (13 kes), Tembok Gajah (4 kes) dan Pagar Siput (1 kes),” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, terdapat 23,433 kes aktif dengan 54 daripada 126 pesakit di unit rawatan rapi memerlukan bantuan pernafasan.