Murid Tahun 3 maut digilis treler ketika pulang sekolah

Murid Tahun 3 maut digilis treler ketika pulang sekolah

Sebuah treler dipercayai melanggar motosikal dibonceng kanak-kanak perempuan itu bersama pengasuhnya.

Bomba berkata pengasuh dan seorang kanak-kanak lelaki cedera ringan, manakala kanak-kanak perempuan itu maut di lokasi kejadian. (Gambar JBPM)
PETALING JAYA:
Seorang murid perempuan sembilan tahun maut digilis treler dalam perjalanan pulang dari sekolah di Kampung Telok Gong, Pelabuhan Klang, pagi tadi.

Pengarah Jabatan Bomba Selangor, Morni Mamat, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kemalangan itu pada 11.25 pagi.

Beliau berkata, nahas itu melibatkan sebuah treler yang melanggar motosikal dinaiki mangsa bersama seorang wanita berumur 54 tahun dan seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun.

“Wanita yang juga pengasuh kepada kedua-dua kanak-kanak tersebut mengambil mereka dari sekolah dan dalam perjalanan pulang.

“Pengasuh dan kanak-kanak lelaki tersebut masing-masing cedera ringan, manakala kanak-kanak perempuan maut di lokasi kejadian,” katanya menurut Bernama.

Morni berkata, mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya, manakala wanita dan kanak-kanak lelaki itu dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk rawatan lanjut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.