
“Kita ada 2 masalah, iaitu virus dan viral,” kata Dr Dzulkefly Ahmad, menteri kesihatan dalam sidang media baru-baru ini mengenai wabak koronavirus novel (2019-nC0V) yang kini menjadi kegusaran global.
Umum tentu maklum viral yang dimaksudkan adalah penularan berita palsu sekitar wabak koronavirus. Dakwaan seperti penularan kes kematian akibat virus ini, warga China yang dikatakan positif dijangkiti virus tersebut tetapi bergerak bebas di Pulau Pinang dan gambar didakwa pelancong China ingin lari daripada wabak itu antara yang mengambil tempat menokok tambah kebimbangan masyarakat.
Kita harus akui penyebaran berita palsu tersebut terkait dengan motif politik. Kerajaan Pakatan Harapan harus dipersalahkan semaksima mungkin untuk meraih undi pada pilihan raya umum ke-15 nanti.
Kerajaan hari ini mesti dilihat tidak cekap dalam menangani krisis melibatkan keselamatan orang awam, justeru mesti direncanakan untuk ditumbangkan pada PRU15 dengan isu demi isu yang dilonggokkan. Entah berapa banyak berita palsu yang melintas dalam garis masa akaun media sosial kita.
Tidak lupa, ada individu yang bebal melarang kita memakan limau mandarin di samping isu koronavirus kerana dikatakan kotor dan dari China.
Di Indonesia, tular berita wabak tersebut boleh berjangkit melalui pembesar suara telefon pintar Xiaomi kerana ia dari China. Apa saja dari China dikaitkan dengan koronavirus, justeru harus ditolak mentah-mentah.
Sebagai manusia yang dikurniakan akal oleh Tuhan untuk membezakan hal secara binari, seperti baik dan buruk, betul dan salah, kiri atau kanan, tertanya-tanya juga di mana kebijaksanaan kita menggunakan rasionaliti bagi menilai tahap kesahihannya.
Lebih sedekad lalu, rakyat Malaysia ditegur bekas perdana menteri ke-5, Abdullah Ahmad Badawi yang lebih dikenali sebagai Pak Lah kerana “mempunyai kemudahan kelas pertama, tetapi mentaliti dunia ketiga”.
Hari ini, teguran tersebut masih relevan untuk mengingatkan kita tidak menjadi “kera mendapat bunga”. Penggunaan telefon pintar yang meluas seolah-olah mendedahkan kita kepada penyebaran wabak “berita palsu” ini.
Tajuk yang menangkap mata, propaganda yang mengenyangkan selera, ideologi dihadam dan dikongsi secara meluas. Kemudian, apa yang kelakarnya adalah telefon pintar tersebut pula yang disalahkan.
Izinkan saya memetik SH Alatas sedikit, kesan sampingan tidak boleh dikatakan sebagai ciri utama sesuatu perkara.
Beliau memberi contoh kes kematian di Amerika Syarikat yang berpunca daripada senjata api, bukanlah Perkara 2 Perlembagaan negara itu, tetapi individu yang mempunyai niat melakukan kerosakan melalui alat tersebut.
Mudah kata, penyebaran berita palsu bukan disebabkan wujudnya telefon pintar, tetapi individu yang berniat menyalahgunakan telefon pintar.
Telefon pintar hanyalah alat, tidak mempunyai nyawa dan tujuan moral, melainkan alat yang kaku dan dipandu penggunaannya oleh manusia.
Yang membimbangkan mengenai berita palsu ialah apabila individu berpengaruh turut terlibat menyebarkan berita tidak benar tersebut. Nama seperti Zed Zaidi, presiden Persatuan Seniman Malaysia disebut turut menyebarkan tangkap layar paparan berita “Semua negara sudah mengharamkan pelancong China kecuali Malaysia”.
Adakah apabila Zed Zaidi menciap dan menyebarkan gambar tersebut yang wajar merisaukan kita? Ya, kerana sekilas pandang, nampaknya golongan selebriti lazim lebih dipercayai berbanding intelektual.
Kalau tidak, takkanlah Dr Sheikh Muszaphar Shukor dan Dr Nur Amalina Che Bakri dilonggokkan sekali sebagai “influencer” dalam Anugerah Meletop Era yang entah apa sumbangan positif mereka kepada masyarakat berbanding 2 sosok ini.
Hanya semudah itu kita memahami definisi “influencer” lanjut menjelaskan tahap mentaliti sebahagian masyarakat.
Apatah lagi dengan berita yang diragui kesahihannya, apakah akan ada usaha daripada kita untuk mengkaji sejauh mana kebenarannya atau dengan mudah kita menerimanya seperti kita menerima label “influencer” yang entah dari pelosok internet mana mereka hadir.
Dalam saat dan waktu ini, Akta Antiberita Tidak Benar seakan-akan masuk akal. Terlalu banyak ruang dan peluang digunakan untuk menimbulkan keresahan dan menggugat ketenteraman awam.
Mengadaptasi kembali kata-kata Pak Lah, masyarakat kita kini memiliki sistem politik kelas pertama (demokrasi setelah pendemokrasian), tetapi mentaliti kelas ketiga dengan tidak bertanggungjawab menyalahgunakan ruang kebebasan untuk menyemarakkan kekacauan dan menyemai benih kebencian.
Atau mungkin saja stigma genetik Asia tidak boleh diajar menggunakan pendidikan adalah benar, maka perlu digunakan kekerasan untuk menunjukkan tauladan.
Yang menyedihkan apabila wujud sebilangan orang mempercayai berita palsu sewenang-wenangnya. Ia seakan-akan memberi isyarat sistem pendidikan kita kurang berjaya mendidik untuk mempunyai kefahaman lazim bagi mencerna maklumat, bersikap kritis terhadap sebarang sumber pengetahuan dan mempunyai pemikiran seakan penyelidik.
Penularan berita sebegini harus diwaspadai kerana penularan berita tersebut merupakan satu kenyataan politik untuk menghasut rakyat tidak mempercayai institusi kerajaan boleh berfungsi dengan baik.
Tuduhan ini mungkin terlalu melampau, tetapi saya percaya fenomena begini mempunyai elemen subversif yang harus diambil tindakan segera.
Apa yang dirisaukan ialah sejauh mana penularan berita palsu ini akhirnya berjaya meyakinkan rakyat yang kerajaan hari ini mengalami ketidakfungsian, semoga Tuhan mengelakkan perkara ini, mendorong rakyat mengambil tindakan sendiri dan mencetuskan huru-hara.
Muhammad Faiz ialah pembaca FMT.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.