
Faizal Mokhtar turut meminta orang ramai mendoakannya bagi membolehkan beliau membawa kes itu dengan baik di Mahkamah Rayuan.
“Kami telah berbincang untuk membuat rayuan terhadap keputusan mahkamah. Semoga saya dapat menyediakan dokumen hari ini dan memfailkan rayuan esok,” katanya kepada FMT.
Faizal berkata, Sam kelihatan tenang selepas Mahkamah Tinggi membuat keputusan.
Terdahulu, Sam, 27, turut diperintahkan menjalani hukuman selama enam bulan penjara lagi jika tidak membayar denda, selain hilang kelayakan memandu selama tiga tahun, menurut laporan Berita Harian.
Hukuman itu adalah susulan rayuan Jabatan Peguam Negara terhadap keputusan Mahkamah Majistret yang membebaskannya kerana menyebabkan kematian lapan penunggang basikal di Jalan Lingkaran Dalam di Johor Bahru pada 3.20 pagi, 18 Feb 2017.
Mahkamah melepas dan membebaskannya pada akhir kes pendakwaan tanpa memanggilnya untuk membela diri atas pertuduhan dihadapi pada 28 Okt 2019.
Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi memerintahkan Sam membela diri pada 18 Feb tahun lalu selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan.
Sam yang berusia 22 tahun ketika kejadian, didakwa mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda RM20,000, selain lesen memandu digantung, jika sabit kesalahan.
Remaja yang maut dalam kejadian itu ialah Mohamad Azrie Danish Zulkefli, 14; Muhamad Shahrul Izzwan Azzuraimie, 14; Muhammad Firdauz Danish Mohd Azhar, 16; Fauzan Halmijan, 13; Mohamad Azhar Amir, 16; Muhammad Harith Iskandar Abdullah, 14; Muhammad Shahrul Nizam Marudin, 14 dan Haizad Kasrin, 16.