
“Saya kurang pasti kertas kerja apa yang disebut Rafizi yang memberikan saya jawatan di Pulau Pinang?
“Paling saya ingat Rafizi tidak pernah mempunyai hubungan baik dengan Lim, apa lagi untuk mencadangkan pelantikan saya melalui kertas kerja kepada kerajaan negeri,” katanya dalam kenyataan.
Saifuddin turut menafikan kenyataan Rafizi yang mengatakan dirinya telah berkorban demi membantunya yang “hilang kerja” selepas tewas pada pilihan raya umum (PRU) 2013.
Menurutnya, beliau dilantik semula sebagai setiausaha agung PKR pada 2016 bagi menggantikan Rafizi kerana bekas ahli Parlimen Pandan itu berdepan dengan kes-kes mahkamah termasuk kes National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp).
“Hampir dua tahun selepas itu, iaitu pada November 2016 saya kembali dilantik oleh Wan Azizah Ismail menggantikan Rafizi yang berdepan kes-kes mahkamah.
“Rafizi kata dia beri laluan kepada saya. Laluan selepas dua tahun,” soalnya.
Semalam, Rafizi berkata beliau berkorban demi membantu Saifuddin ketika “hilang kerja” selepas tewas, pada pilihan raya umum (PRU) 2013.
Pada pilihan raya berkenaan, Saifuddin mengalami kekalahan menentang calon Umno di Kulim-Bandar Baharu. Beliau bagaimanapun, menang di kawasan sama, pada 2018.
Rafizi yang juga naib presiden PKR, berkata beliau memujuk Saifuddin kembali aktif dalam politik susulan kekalahannya pada 2013 selain memberi laluan kepadanya menjadi setiausaha agung parti, jawatan yang kekal disandang Saifuddin sehingga kini.
Sementara itu, Saifuddin menganggap percubaan Rafizi menjawab isu “bercuti” suatu usaha yang baik.
Beliau berkata tidak mempunyai niat memanjangkan isu ini dan sentiasa menghormati Rafizi sebagai rakan seperjuangan.
“Saya yakin pertandingan Timbalan Presiden ini tidak akan mencarikkan silaturrahim,” katanya.