4 mengaku tak salah buat tuntutan palsu Program Penjana Kerjaya

4 mengaku tak salah buat tuntutan palsu Program Penjana Kerjaya

Semua tertuduh mengaku tidak bersalah membuat tuntutan palsu kepada Perkeso bagi menuntut insentif di bawah Program Penjana Kerjaya 2.0 berjumlah RM504,460.

Semua tertuduh dibenarkan diikat jamin dan perlu menyerahkan pasport mereka kepada mahkamah, selain melaporkan diri di pejabat SPRM sebulan sekali sehingga kes selesai. (Gambar fail)
KUALA LUMPUR:
Empat individu didakwa di tiga Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan mengemukakan dokumen palsu kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi menuntut insentif di bawah Program Penjana Kerjaya 2.0 berjumlah RM504,460.

Semasa prosiding di hadapan Hakim Rozina Ayob, Ketua Pegawai Eksekutif NVDS Technology Sdn Bhd, Md Zaidi Muhammad, 45, mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan, manakala bekas pengarah Lan Trading & Construction Con dan Percetakan Haz Sdn Bhd, Mohamed Hazzri Mohamed Amin, 45, mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan.

Zaidi didakwa memberikan Borang Pengesahan Pekerja Program Insentif Pengambilan Pekerja bertarikh 22 April 2021 melalui seorang wanita kepada seorang pegawai perkhidmatan pekerjaan pejabat Perkeso bagi menuntut insentif di bawah program tersebut berjumlah RM343,660.

Dia dituduh dengan niat memperdayakan Perkeso dengan dokumen mengandungi pernyataan palsu tentang nama pekerja baharu, sedangkan senarai pekerja yang dinamakan itu bukan pekerja syarikat berkenaan.

Hazzri yang berdepan dua pertuduhan didakwa memberikan borang pengesahan bertarikh 3 dan 29 Jun 2021 melalui seorang lelaki kepada dua pegawai perkhidmatan pekerjaan pejabat Perkeso bagi menuntut insentif di bawah program sama berjumlah RM40,900 dengan niat sama.

Di hadapan Hakim Suzana Hussin, Hazzri dan pemilik Ilham Diya Enterprise, Nor Rizan Zakaria, 59, mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan memberikan borang pengesahan bertarikh 6 Mac 2021 dan 29 Mei 2021 melalui seorang lelaki kepada seorang pegawai perkhidmatan pekerjaan pejabat Perkeso bagi menuntut insentif di bawah program sama berjumlah RM110,800 dengan niat sama.

Bagi prosiding di hadapan Hakim Azura Alwi pula, pengurus Bmine Enterprise, Muhammad Asyraf Omar, 31, mengaku tidak bersalah memberikan borang bertarikh 31 Julai 2021 melalui seorang lelaki kepada seorang pegawai perkhidmatan pekerjaan pejabat Perkeso bagi menuntut insentif di bawah program sama berjumlah RM9,100 dengan niat sama.

Zaidi dan Asyraf didakwa melakukan perbuatan itu di Bahagian Perkhidmatan Pekerjaan Perkeso di Putrajaya, manakala Hazzri dan Nor Rizan di Pejabat Perkeso, Jalan Ampang di sini, antara 6 Mac 2021 hingga 13 Sept 2021.

Semua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai tuntutan palsu itu atau RM10,000, mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Rozina membenarkan Zaidi dan Hazzri masing-masing diikat jamin RM25,000 dan RM10,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan menyerahkan pasport mereka kepada mahkamah, selain melaporkan diri di pejabat SPRM sebulan sekali sehingga pelupusan kes serta menetapkan 15 Feb ini untuk sebutan kes.

Suzana pula membenarkan Hazzri dan Nor Rizan masing-masing diikat jamin RM16,000 dengan seorang penjamin dan mereka perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah serta melaporkan diri di pejabat SPRM sebulan sekali sehingga kes selesai dan menetapkan sebutan kes pada 7 Feb ini.

Asyraf dibenarkan diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan sama dan mahkamah menetapkan sebutan kes pada 22 Feb ini.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohamad Fadhly Mohd Zamry, A Kalaivani dan Atiqah Alias, manakala Zaidi diwakili peguam Azalea Nazihah Zulkefli dan Nor Rizan diwakili peguam Hasmah Nordin serta Hazzri dan Asyraf tidak diwakili peguam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.