Anwar gembira hasil Persidangan Apec di AS

Anwar gembira hasil Persidangan Apec di AS

Perdana menteri berkata beliau berjaya menyatakan pendirian Malaysia berkaitan Palestin dan meraih pelaburan teknologi tinggi bernilai berbilion ringgit.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata Apec harus kekal sebagai platform bagi semua negara berkumpul untuk membangunkan strategi yang merangsang kemajuan ekonomi. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim melahirkan rasa gembira dengan hasil lawatan beliau di Persidangan Apec di Amerika Syarikat (AS) yang berjaya meraih pelaburan sebanyak RM63.02 bilion dan pada masa yang sama menyuarakan pendirian Putrajaya berhubung isu di Gaza.

Anwar berkata mesej beliau di setiap platform semasa persidangan yang berlangsung di San Francisco itu adalah mudah dan jelas – pembunuhan dan kekejaman di Gaza perlu dihentikan dan tidak ada pilihan lain lagi, lapor Bernama.

Selain Malaysia, daripada 21 ekonomi yang menyertai Apec 2023, Brunei dan Indonesia turut menyentuh isu konflik di Timur Tengah itu.

“Secara keseluruhannya, saya gembira kerana ia (pendirian tiga ekonomi berkenaan) pendirian yang penting. Kami bukan pejuang atau ingin berseteru, tetapi kami mengambil pendirian sebagai sahabat.

“Saya tidak menggunakan forum ini untuk mengutuk, tetapi lebih kepada merayu, untuk menghentikan kekejaman yang berlaku di Gaza,” katanya.

Mengenai perdagangan dan pelaburan, Anwar yang juga menteri kewangan berpendapat Apec harus kekal sebagai platform bagi semua negara berkumpul untuk membangunkan strategi yang merangsang kemajuan ekonomi sambil mengekalkan standard tertinggi kerjasama dan saling menghormati.

Beliau berkata kelompok yang berada di bawah kategori ekonomi baru muncul seperti Malaysia, mendapat manfaat yang besar daripada kerjasama sedemikian dalam kedua-dua aspek perdagangan dan pelaburan.

“Pada pelbagai peringkat pertumbuhan dan pembangunan, ekonomi-ekonomi ini kini cuba berkembang maju mengatasi kesukaran semasa krisis kesihatan global, yang bermakna perlu ada lebih banyak kerjasama sekarang berbanding sebelum ini,” katanya.

“Tidak syak lagi bahawa persaingan antara AS-China yang berterusan akan menjadi realiti struktur hal ehwal dunia, tetapi ekonomi sedang pesat membangun tidak harus didesak untuk memihak.

“Negara seperti Malaysia dan Asean tidak boleh dipaksa untuk melihat dunia dan kuasa besar dalam pemikiran Perang Dingin,” katanya semasa sesi soal jawab pada Sidang Kemuncak Ketua Pegawai Eksekutif Apec. bertajuk “The Global Economy and State of The World”.

Beliau berkata bagi Putrajaya, Washington telah menjadi sekutu tradisional dan pelabur utama di Malaysia, tetapi terdapat peralihan dengan peningkatan perdagangan dan pelaburan dari China.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.