Najib: Kerajaan hampir berjaya ‘sifarkan’ miskin tegar

Najib: Kerajaan hampir berjaya ‘sifarkan’ miskin tegar

Ia kejayaan pelbagai dasar yang dilaksanakan Barisan Nasional sejak 1970-an.

najib-kemiskinan
KUALA LUMPUR: Selepas usaha selama berpuluh tahun, kerajaan kini hampir berjaya menghapuskan kemiskinan tegar ke tahap sifar, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Beliau berkata, ia kejayaan pelbagai dasar kerajaan dan prinsip memperjuangkan agenda Bumiputera tanpa mengabaikan hak kaum lain.

“Kita menyaksikan sejak 1970, kadar kemiskinan yang dahulunya 49.3% telah berkurang kepada 3.8% pada 2009, dan terus menyusut kepada 0.6% pada 2014.

“Atas segala usaha kerajaan Barisan Nasional sejak berpuluh tahun, dan suka saya ulangi bahawa faktanya kemiskinan tegar di Malaysia kini telah hampir ‘disifarkan’ kesemuanya,” katanya.

Menurut Bank Dunia, kadar miskin tegar Malaysia berkurangan kepada 0.28% pada 2016, berbanding antara tertinggi di dunia 4 dekad sebelumnya.

Beliau berucap ketika melancarkan agenda Transformasi Kesejahteraan Bumiputera (TKB) di Pusat Persidangan Kuala Lumpur (KLCC) hari ini.

TKB disifatkan sebagai kesinambungan kepada Halatuju Transformasi Ekonomi Bumiputera 1.0 bawah Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) yang berjalan sejak 2012-2017.

Dalam pada itu, kerajaan komited menjadikan Malaysia berada pada kedudukan 20 negara termaju di dunia.

“Saya bersama-sama (timbalan perdana menteri) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi beserta barisan jemaah menteri, demi Melayu, Bumiputera dan rakyat Malaysia seluruhnya.

“Kita akan bersatu hati untuk terus berjuang memakmurkan negara, sehingga terjulang pada kedudukan negara 20 termaju di dunia,” katanya.

Sasaran tersebut antara teras utama pelan induk Transformasi Nasional 2050 (TN50), yang dilancarkan pada pembentangan Bajet 2017 Oktober lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.