Ahli Parlimen DAP: Kami bukan dalang, BN punca harga makanan naik

Ahli Parlimen DAP: Kami bukan dalang, BN punca harga makanan naik

Charles Santiago berkata, sebagai orang kanan perdana menteri, Tengku Adnan sepatutnya turun padang berinteraksi dengan rakyat, bukannya menuduh pembangkang sebagai dalang kenaikan harga makanan.

charles-tengku-nan
PETALING JAYA: Wakil rakyat DAP hari ini menafikan pakatan pembangkang ialah dalang di sebalik kenaikan melampau harga makanan dan menasihatkan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor belajar cara pengurusan ekonomi daripada kerajaan Selangor dan Pulau Pinang.

Charles Santiago berkata, kenaikan harga makanan itu sebenarnya berpunca daripada kos sara hidup tinggi dan potongan pelbagai jenis subdisi oleh kerajaan pusat yang membebankan rakyat.

“Kekurangan gaji rakyat Malaysia tidak dapat menampung kos kehidupan tinggi. Keduanya, kita ada subsidi yang diberikan kepada rakyat beberapa tahun lalu dah dipotong. Subsidi untuk hospital, makanan dan sebagainya kena potong kerana pendapatan untuk kerajaan sudah jatuh.

“Seterusnya berkait dengan penurunan harga minyak, jelas pengurusan terhadap ekonomi Malaysia tidak boleh pakai dan tidak bagus,” katanya kepada FMT hari ini.

Ahli Parlimen Klang itu mengulas dakwaan menteri Wilayah Persekutuan itu semalam yang harga melampau dikenakan peniaga dan pengusaha restoran didalangi pakatan pembangkang kerana institusi pengusaha makanan sedia ada dianggotai pemimpin pembangkang.

Setiausaha agung Umno itu dilaporkan berkata, persetujuan penetapan harga makanan akan ditentukan institusi pengusaha makanan itu.

Santiago berkata, sebagai orang kanan perdana menteri, Tengku Adnan yang lebih dikenali sebagai Ku Nan perlu turun padang dan berinteraksi dengan rakyat, bukannya menuduh pembangkang sebagai dalang kenaikan harga makanan.

“Ku Nan sebenarnya sekolah mana dan pergi belajar ekonomi mana, saya tidak faham. Dia sebagai menteri kanan dan setiausaha untuk Barisan Nasional (BN), tetapi bila dia cakap macam budak kecil, tidak faham apa berlaku dalam negara.

“Dia harus cakap dengan orang ramai, mungkin terlalu banyak duduk dalam aircond, cakap dengan orang bawah.

“Lihat Selangor, walaupun bajet RM2 bilion, tetapi banyak beri subsidi kepada rakyat dengan pelbagai skim yang ada daripada lahir sampai mati. Saya cadang Ku Nan belajar pengurusan ekonomi dari Pulau Pinang dan Selangor,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden PKR, Tian Chua menyifatkan tuduhan ahli Parlimen Putrajaya itu tidak berasas.

“Mengarut, ini satu kenyataan lucu. Sekarang ini saya tidak tahu kualiti orang politik pemerintah. Kita menganggap satu kenyataan mengarut dan tidak berasas.

“Saya sangat kecewa sekali kualiti pemimpin BN. Sepatutnya cari jalan untuk selesaikan masalah rakyat, bukan nak cari kesalahan dan tuduh-menuduh dengan tuduhan tak berasas.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.