
Bercakap kepada FMT, Ketua Pemuda PAS Selangor Syarhan Humaizi Abdul Halim berkata mandat membentuk kerajaan Selangor daripada pengundi pada pilihan raya umum 2013.
Oleh itu Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail tidak berhak meminta PAS berundur.
“Tetapi kalau kepimpinan PAS meminta kami berundur, kami tidak akan bantah kerana kami tak gila kuasa,” katanya di tepian muktamar PAS hari ini.
PAS menganggotai pentadbiran kerajaan Selangor sejak pilihan raya umum 2008 apabila PKR, DAP dan PAS menawan majoriti kerusi daripada Barisan Nasional.
Ketiga-tiga parti Pakatan Rakyat mengekalkan kuasa pada pilihan raya umum 2013.
Sebelum ini, Saifuddin meminta PAS melakukan perkara “terhormat” dan berundur dari kerajaan Selangor jika mereka memutuskan kerjasama dengan PKR.
Ketua Pemuda PAS Gombak Md Noor Husin lebih tajam menjawab kenyataan Saifuddin.
“Kerajaan Selangor bukan milik PKR dan dia tiada hak minta kami berundur.”
Hubungan antara PAS dan PKR bertukar tegang mutakhir ini, terutamanya apabila PAS tersinggung dengan kenyataan beberapa pemimpin PKR seperti Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Naib Presiden PKR Rafizi Ramli.
Awal hari ini, pembahas perwakilan Pemuda PAS Selangor Mohamed Sukri Omar memberi amaran Azmin dan Rafizi akan ditumbangkan di kawasan Parlimen masing-masing jika mereka terus menyindir PAS.
Dewan Ulama PAS dan Pemuda PAS sudah meluluskan usul memutuskan kerjasama dengan PKR pada muktamar masing-masing. Keputusan muktamad terletak pada Majlis Syura Ulama PAS, badan pembuat keputusan tertinggi parti itu.