
Ketua Polis Daerah Pekan, Amran Sidek berkata, ini bagi mengelak daripada dikenakan tindakan undang-undang.
“Kita juga berharap penyokong parti akan bertindak matang dan tidak melakukan apa sahaja perbuatan yang boleh mencetuskan pergaduhan sepanjang tempoh pilihan raya,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah di sini, hari ini.
Pekan merupakan kawasan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan pada PRU14, dijangkakan akan berlaku persaingan 3 penjuru memandangkan PAS dan Pakatan Harapan masing-masing menyatakan kesediaan meletakkan calon di situ.
Amran berkata, seramai 515 pegawai dan anggota polis di daerah ini bersiap sedia ditugaskan bagi mengawal keadaan sepanjang PRU14 dan memastikan jaminan keselamatan di 56 pusat mengundi dan 171 saluran mengundi di kawasan Parlimen ini.
Katanya, walaupun masih tiada “kawasan panas” dikenal pasti di Pekan, namun pihaknya tidak menjadikan perkara itu sebagai alasan untuk tidak melakukan persiapan sebaik mungkin, termasuk kemungkinan berlaku pergaduhan.
“Kawalan keselamatan turut dilakukan mengikut keperluan dan kekuatan yang ada untuk memastikan para pengundi di setiap kawasan keluar membuang undi dengan perasaan yang selamat dan tenteram.
“Kesiapsiagaan polis menghadapi PRU kini sudah 99.9% hingga hari penamaan calon, hari pengundian awal, hari sebenar serta selepas hari pengundian,” katanya.
Parlimen Pekan mempunyai 89,076 pemilih berdaftar setakat 31 Disember lepas meliputi 78,385 Melayu, 1,788 Cina, 737 India dan 8,166 lain-lain dengan 4 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Pulau Manis, Peramu Jaya, Bebar dan Chini.
Klik sini untuk perkembangan sepanjang musim PRU14