Tukar kerajaan, apa kurangnya sekarang?

Tukar kerajaan, apa kurangnya sekarang?

Sebagai anak kepada penghidap kanser payudara metastatik (MBC), khidmat rawatan kesihatan percuma di hospital kerajaan kepada emak saya banyak memberi manfaat kepada kami sekeluarga.

Free Malaysia Today
Gambar Facebook

Benarkah dengan mengundi parti pembangkang akan menjanjikan kehidupan lebih gemilang dan cerah masa hadapan? Persoalan itu yang terlintas di benak fikiran saya tatkala berjumpa dengan seorang rakan lama di sebuah restoran mamak baru-baru ini.

“Kita kena guling kerajaan yang ada sekarang ini kerana asyik ambil kesempatan pada rakyat. Kau tengoklah dari dulu sehingga sekarang, kerajaan ‘take things for granted’.

“Kita kena tolak pemimpin yang tidak ada integriti. Jadi, kita kena ubah sebagai amaran kepada BN,” katanya dengan penuh lantang dan berkobar-kobar dalam satu pertemuan pada malam minggu lepas.

Malasnya. Saya sebenarnya tidak gemar menyentuh perihal ini dengannya kerana mengetahui yang dia mudah naik angin apabila bercakap pasal politik negara. Habislah dia dah buka topik politik, boleh rosak ‘mood’, getus hati kecil saya.

“Takkanlah kau langsung tidak dapat apa-apa kebaikan sepanjang kerajaan yang ada ini memerintah. Lagipun, apa yang dijanjikan pembangkang belum tentu akan direalisasikan,? sengaja saya memprovokasikannya selain telinga sudah bersiap sedia kena ‘bising’.

“Itu bukan manfaat tetapi duit kerajaan hasil cukai rakyat. Sekarang tidak ada apa beza pun. Orang Melayu langsung tidak dapat apa-apa dan sebab itu kita kena ubah dan tengok bagaimana pembangkang buat. Perubahan itu perlu!,” katanya.

Ya, saya tidak menafikan apa yang dijanjikan pembangkang agak menarik bunyinya. Pendidikan percuma daripada peringkat rendah sampailah ke peringkat tertinggi, penghapusan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan sebagainya.

Tetapi, benarkah semua itu atau ia hanyalah sekadar janji palsu pembangkang untuk meraih perhatian dan menarik sokongan rakyat? Sedangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) sudah banyak terbukti membawa kemakmuran, kesejahteraan dan kestabilan kepada rakyat dan negara sepanjang mengemudi tonggak kepimpinan selama ini.

Malah, saya sendiri mengakui nikmatnya itu turut dirasai oleh saya sekeluarga. Kerana itulah, saya pelik apabila rakan yang dikenali sejak 5 tahun lepas ini asyik mempertikaikan yang dia langsung tidak mendapat apa-apa manfaat daripada kerajaan sekarang.

Berlegar-legar perkara ini dalam minda saya sepanjang perjalanan balik selepas pertemuan itu sehingga mengimbau kembali beberapa faedah yang diperoleh selama ini.

Saya masih ingat beberapa rakan di tempat saya bekerja sebelum ini (tahun 2010) tidak bersetuju dengan keputusan saya untuk berhenti kerja di sebuah organisasi swasta dan berkhidmat di sebuah agensi kerajaan.

Ini kerana, gaji ditawarkan hanyalah RM1,400 sebulan. Sedangkan, bos di tempat lama saya iaitu Adam Salleh berjumpa secara peribadi untuk menyerahkan surat pengesahan jawatan dan kenaikan gaji berjumlah RM3,000 sebulan.

Bukan sedikit nilainya dan perbezaannya itu sangat ketara iaitu sebanyak RM1,600. Tetapi, keputusan untuk meninggalkan platform swasta dan menjadi penjawat awam, bukanlah satu kesilapan.

Biarpun bermula dengan gaji agak rendah, namun kenaikan gaji tahunan dan pelbagai elaun serta imbuhan lain yang diterima pada setiap bulan membuatkan kehidupan saya di ibu kota tidaklah sesukar mana.

Paling memberi kesan adalah kemudahan kesihatan yang diberikan kepada penjawat awam turut meliputi kos rawatan perubatan untuk ibu ayah. Sebagai anak kepada penghidap penyakit kronik, kanser payudara metastatik (MBC), khidmat rawatan kesihatan percuma di hospital kerajaan kepada emak saya banyak memberi manfaat kepada kami sekeluarga.

Malah, boleh dikatakan yang saya pun tidak tahu berapa banyak kos perubatan dikenakan selama lebih 7 tahun lamanya emak mendapatkan rawatan kanser di Jabatan Radioterapi dan Onkologi, Hospital Kuala Lumpur (HKL) sehinggalah menghembuskan nafasnya terakhir pada 12 Sept lepas.

Tetapi, saya yakin kosnya boleh mencecah ratusan ribu ringgit kerana saya masih ingat caj untuk satu suntikan jarum sahaja untuk menghentikan rasa loya muntah ketika emak menjalani satu pusingan kemoterapi adalah bernilai RM500.

Itu tidak termasuk proses rawatan lain. Berdasarkan perbualan dengan seorang wanita berbangsa India di onkologi, dia terpaksa menyambung rawatan kemoterapi di HKL setelah berhabis puluhan ribu ringgit di hospital swasta.

Tetapi, itulah keistimewaan penjawat awam kerana rawatan emak segala-galanya percuma, dari caj bilik, pelbagai jenis ubatan hormon, rawatan kemoterapi dan pembedahan besar membuang kedua-dua belah payudara arwah.

Saya dan adik beradik lain cuma mengeluarkan perbelajaan untuk pembelian lampin pakai buang, tongkat, ubat pencucian luka dan kos berulang alik ke hospital sahaja.

Bagaimanapun, seperkara yang amat signifikan dalam pentadbiran kerajaan adalah nikmatnya itu bukanlah hanya tertumpu kepada penjawat awam bahkan semua kakitangan swasta.

Dibesarkan dalam keluarga yang bekerja sektor swasta, bantuan pencen penakat yang diberikan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kepada ibu dan kami 3 beradik selepas ayah meninggal dunia akibat sakit kanser otak pada 9 Jan, 2001, banyak membantu kehidupan selepas itu.

Ini kerana, emak saya seorang suri rumah sepenuh masa dan pendapatan kami sekeluarga hanyalah bergantung kepada pendapatan ayah yang bekerja sebagai penyelia di sebuah kilang membuat jala milik orang Jepun di Seberang Jaya, Pulau Pinang.

Dengan bantuan pencen penakat, setiap seorang daripada kami yang masih belajar menerima RM250 sebulan manakala arwah emak menerima RM650 sebulan. Biarpun jumlahnya tidaklah sebanyak mana, namun dengan duit pencen itu termasuklah wang simpanan emak, saya dapat melanjutkan pelajaran diploma di Universiti Teknologi Mara (UiTM) tanpa menggunakan sebarang pinjaman pun.

Pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) hanya dilakukan semasa pengajian Ijazah Sarjana Muda tetapi itupun tidak perlu dibayar balik berikutan mendapat pengecualian.

Hakikatnya, itu hanyalah sebahagian nikmat yang saya rasai dan saya percaya ramai lagi di luar sana turut sama mendapat limpahan manfaat daripada pimpinan kerajaan hari ini, cuma dalam keadaan yang berbeza. Jadi, mengapa harus tukar sedangkan kerajaan sedia ada sudah terbukti menjaga kebajikan rakyat?

Malah, satu persatu perubahan kehidupan lebih baik dalam diri saya. Bermula dengan hanya menaiki skuter kini sudah mampu memiliki kenderaan sendiri dan menikmati kehidupan selesa. Mungkin ia tidaklah sebesar mana, hanya sebuah kereta Perodua Viva, tetapi saya cukup bersyukur dengan apa yang ada sekarang ini.

Bukankah dalam agama sangat menekankan kepentingan bersyukur?

Justeru, adalah sewajarnya pertimbangan bersandarkan akal fikiran dilakukan pada 9 Mei ini berbanding hanya mengikut kata emosi semata-semata. Cuba tenangkan diri dan renung kembali, apa manfaat yang kita peroleh selama ini.

Komentar ini adalah pendapat peribadi penulis, Sakini Mohd Said dan tidak membayangkan pendirian BERNAMA dalam apa yang diperkatakan oleh penulis.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.