
Katanya, sidang khas yang diadakan mengikut Perlembagaan negeri itu mengandungi 2 komponen penting – pertama, angkat sumpah adun dan kedua, menyuarakan sokongan kepada kepimpinan serta kerajaan baru.
“Kami sudah mengambil semua langkah perlu untuk menunjukkan kami berkuasa dalam keadaan sekarang,” katanya selepas menghadiri sidang khas di bangunan DUN hari ini.
“Proses yang kami lalui hari ini menghentikan apa yang dikatakan di luar, sama ada di luar negara mahupun dalam negara ini. Kami ada sebuah kerajaan dan ketua menteri sah mentadbir Sabah.”
Shafie mendapat sokongan 43 adun untuk menjadi ketua menteri sah, termasuk 4 adun dilantik.
Sidang khas DUN Sabah hari ini meluluskan sebulat suara usul undi percaya terhadap Shafie sebagai ketua menteri. Keputusan itu diumumkan Speaker DUN Sabah, Datuk Syed Abas Syed Ali selepas usul itu dibahaskan 4 adun.
Shafie yang juga adun Senallang berkata, tugas paling penting sekarang ialah memfokuskan keperluan Sabah untuk terus mara.
“Terima kasih kepada semua wakil rakyat yang memberikan sokongan mereka.
“Jadi, saya harap apa yang penting pada kita ialah mentadbir negeri dengan baik, dan semuanya bekerjasama untuk memastikan rakyat dapat kita bela secepat mungkin dan sebaik yang boleh.”
Sabah berdepan krisis perlembagaan apabila yang dipertua Sabah membenarkan Shafie mengangkat sumpah kurang 48 jam selepas Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Tan Sri Musa Aman mengangkat sumpah sebagai ketua menteri pada 10 Mei lalu.
Warisan dan sekutunya, Pakatan Harapan (PH) terikat 29 kerusi dengan BN susulan pilihan raya umum 9 Mei lalu.
Musa pada awalnya berjaya membentuk kerajaan negeri selepas mendapat majoriti mudah 31 kerusi susulan keputusan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) menyertai BN.
Bagaimanapun, Shafie mengangkat sumpah di depan Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin pada 12 Mei lalu, selepas 4 adun Umno dan 2 adun Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko) menyertai Warisan-PH.
Dua lagi adun Umno dan Upko turut berpaling tadah kemudian.
Sementara itu, Shafie berkata, adun dipilih mempunyai 90 hari daripada sidang DUN pertama untuk mengangkat sumpah jawatan masing-masing.
“Kami tahu yang seorang adun dipilih rakyat, tetapi atas sebab undang-undang, mereka perlu mengangkat sumpah dan proses itu perlu berlaku ketika sidang DUN.
“Adun hanya boleh dikecualikan dengan mendapat kebenaran speaker terlebih dahulu.”
Timbalan Ketua Menteri, Christina Liew berkata akan ada “akibat” jika adun gagal hadir hari ini dan terus menjauhi sidang DUN akan datang.
“Ia sangat tidak bertanggungjawab untuk mereka yang dipilih tidak hadir. Pengundi mengharapkan anda datang ke sidang DUN dan menyuarakan isu dihadapi mereka.
“Walaupun mereka bukan lagi sebahagian kerajaan, mereka perlu memainkan peranan sebagai pembangkang berkesan. Kami pernah menjadi pembangkang, tetapi kami hadir (sidang DUN).”
Ketua PKR Sabah itu berkata, masa untuk berpolitik sudah berakhir.
“Seolah-olah mereka tidak dapat menerima hakikat mereka kini pembangkang…Saya terkejut dengan mentaliti ini,” kata Liew.
Mereka yang tidak hadir hari ini termasuk Musa yang juga adun Sungai Sibuga.
Sebelas daripada 21 adun yang tidak hadir itu dari Umno, 6 ialah Parti Bersatu Sabah (PBS), 2 dari STAR dan masing-masing wakil rakyat tunggal dari Parti Bersatu Rakyat Sabah serta Upko.
Semalam, Bendahari Umno Sabah, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor dan Presiden STAR, Datuk Jeffrey Kitingan berkata, adun BN dan STAR akan memboikot sidang khas yang didakwa mereka tidak sah.