
Riza tiba di Ibu Pejabat SPRM pada 3.00 petang tadi bersama peguam, K Kumaraendran dan meninggalkan Ibu Pejabat SPRM jam 9.00 malam.
Seorang pegawai SPRM yang enggan dikenali berkata kemungkinan esok Riza akan diambil keterangan kali ke-3.
Bagaimanapun, SPRM belum mengesahkannya lagi.
Riza yang menaiki kereta Audi berwarna hitam kelihatan tenang dan enggan mengulas lanjut apabila ditanya pemberita. Beliau meninggalkan Ibu Pejabat SPRM bersama peguamnya.
Semalam, Riza disoal selama 9 jam setelah muncul pertama kali di khalayak ramai di Malaysia, selepas namanya disebut dalam saman sivil Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) pada 2016 berhubung siasatan ke atas 1MDB.
Penerbit filem Hollywood itu semalam tiba di bangunan SPRM pada 1.30 tengah hari bersama peguam untuk membantu siasatan kes 1MDB dan selesai memberi keterangan pada 10.30 malam.
Keterangan Riza diambil hampir sebulan selepas ibunya, Datin Seri Rosmah Mansor, disoal SPRM dalam siasatan dakwaan rasuah terhadap syarikat milik kerajaan itu.