
Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee Daud berkata dalam kenyataan, serbuan pertama dilakukan di hotel yang menjadi “hotspot” untuk aktiviti pelacuran di Pudu, semalam.
“Premis ini telah berulang kali diserbu agensi penguatkuasaan tetapi masih didapati menjalankan aktiviti tidak bermoral melibatkan warga asing,” katanya.
Menurutnya, 12 individu ditahan melibatkan lima wanita Vietnam dan tujuh lelaki Bangladesh.
Susulan itu, satu lagi operasi dijalankan di Puchong hari ini berakhir dengan penahanan 12 warga asing iaitu lima lelaki Bangladesh, seorang lelaki Indonesia, serta selebihnya wanita Indonesia selepas gagal menunjukkan dokumen atau pas sah ketika pemeriksaan di dua premis kediaman.
Dalam operasi berasingan di Cyberjaya hari ini, seorang lelaki Ghana dipercayai pekerja kelab komuniti terjun ke tasik bersebelahan premis itu dalam usaha mengelak ditahan.
Bagaimanapun usahanya gagal apabila berjaya dicekup anggota imigresen yang turut terjun ke tasik itu untuk mengejarnya.
Dia dan seorang lagi rakan senegara kemudian ditahan kerana gagal mengemukakan dokumen atau pas sah.
Khairul berkata, kesemuanya akan ditahan di Depot Imigresen Semenyih untuk disiasat bagi pelbagai kesalahan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007, Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963.