Mampu ‘pikat hati’ pengundi pelbagai kaum, PKR Perlis gesa PH guna logo PKR pada PRU15

Mampu ‘pikat hati’ pengundi pelbagai kaum, PKR Perlis gesa PH guna logo PKR pada PRU15

PKR Perlis berkata logo PKR juga sudah dikenali di mata serta hati seluruh rakyat dan pernah digunakan ketika PRU14 sehingga berjaya membentuk kerajaan.

PKR Perlis berkata, logo PKR mampu ‘memikat hati’ ramai pengundi pelbagai kaum. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
PKR Perlis menggesa parti komponen Pakatan Harapan (PH) agar menggunakan logo PKR pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) kerana dipercayai ia boleh menarik sokongan dan mencapai kemenangan.

Dalam kenyataan, PKR Perlis berkata, seramai 9,256 anggota dari tiga cabang parti tersebut di seluruh negeri membuat gesaan itu di samping mempercayai logo PKR mampu “memikat hati” ramai pengundi pelbagai kaum.

Kenyataan bersama itu dibuat oleh Majlis Pimpinan Negeri bersama Pemuda dan Wanita serta ketua Cabang PKR di Perlis.

Dalam pada itu, PKR Perlis berkata, logo PKR juga sudah dikenali di mata dan hati seluruh rakyat dan pernah digunakan ketika PRU14 sehingga berjaya membentuk kerajaan.

“Lambang parti itu menjadi simbol kepada perjuangan yang mahukan kerajaan yang bersih, berintegriti dan mengutamakan perjuangan rakyat marhaen menentang sistem yang korup dan zalim, bukannya perjuangan golongan elit yang telah terbukti ditolak oleh rakyat dalam PRU14.

“Majlis Pimpinan Negeri bersama Pemuda dan Wanita PKR serta ketua Cabang dari Perlis membuat keputusan sebulat suara supaya logo dan bendera PKR hendaklah digunakan dalam PRU15 untuk menarik sokongan rakyat pelbagai kaum dan agama sebagaimana pernah dibuktikan dalam PRU14,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.