
Mangsa berusia 59 tahun itu memperoleh maklumat mengenai syarikat menawarkan peluang pelaburan itu selepas melayari FB di kediamannya dekat Kampung Batu Talam, Raub, Jumaat lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa menghubungi nombor telefon syarikat terbabit melalui aplikasi WhatsApp bagi mengetahui lebih lanjut mengenai skim pelaburan itu.
Katanya, mangsa kemudiannya dihubungi suspek bernama “Puan Rosmawati Darmadi” yang mendakwa pegawai pelaburan syarikat berkenaan.
“Suspek memberitahu mangsa skim pelaburan ditawarkan syarikat itu adalah pelaburan saham digital dan mangsa berpeluang memperoleh pulangan lumayan dalam tempoh 48 jam selepas melabur.
“Mangsa, yang teruja apabila suspek memaklumkan pelabur akan mendapat RM16,000 jika melabur RM500 di syarikat terbabit, menyatakan persetujuan untuk menyertai skim pelaburan itu,” katanya dalam kenyataan.
Wazir berkata, suspek meminta mangsa menghantar butiran peribadi dan salinan penyata akaun bank bagi urusan pendaftaran.
Mangsa turut diminta memindahkan sejumlah wang ke dua nombor akaun yang diberikan suspek untuk tujuan pemprosesan.
“Sejak Jumaat lalu hingga semalam, mangsa mendakwa sudah membuat lima kali transaksi pemindahan wang ke dua nombor akaun yang diberikan suspek dengan nilai keseluruhan RM2,980.
“Mangsa hanya menyedari ditipu selepas suspek terus meminta mangsa memindahkan wang kononnya untuk pelbagai urusan lain membabitkan pelaburan itu,” katanya.
Mangsa membuat laporan di Balai Polis Raub semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.